KUALA LUMPUR: Pelumba TotalEnergies, Joris Delbove dari Perancis dinobatkan sebagai juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas tamat saingan Peringkat 8 berakhir di hadapan Menara Berkembar PETRONAS, hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu, yang juga pakar pendakian pasukan, mula menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu klasifikasi berkenaan selepas menjuarai Peringkat 5 dari Temerloh ke Bukit Fraser, Khamis lalu.

Delbove mengekalkan kedudukan itu hingga ke peringkat terakhir meskipun saingan edisi kali ini berlangsung sengit dengan jurang masa yang sangat rapat antara pelumba teratas.

Dia menamatkan saingan lapan hari berkenaan dengan kelebihan hanya tiga saat mengatasi pencabar terdekat dari pasukan Uno-X Mobility, Anders Halland Johannessen, manakala Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling Team) di tempat ketiga dengan perbezaan enam saat.

“Saya akan simpan kenangan indah ini mengenai Malaysia dan LTdL. Ia pengalaman menakjubkan melihat keindahan negara ini, pemandangannya memukau dan perlumbaan sangat mencabar.

“Kemenangan ini cukup bermakna dan saya amat gembira,” kata Delbove selepas perlumbaan.

Sementara itu, Erlend Blikra (Uno-X Mobility) muncul sebagai Raja Pecut dengan kutipan 63 mata keseluruhan, mengatasi Arvid de Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) di tempat kedua dengan 51 mata manakala Manuel Penalver (Team Polti VisitMalta) mengumpul 43 mata.

Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) muncul Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata, berkongsi jumlah yang sama dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos Burpellet BH) manakala Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik Nicolya Vinokurov dari pasukan XDS Astana Team.

Bagi perlumbaan terakhir hari ini, Aaron Gate (XDS Astana Team) melakar kemenangan ketiganya bagi musim 2025 selepas menamatkan perlumbaan sejauh 180.2 kilometer dengan catatan tiga jam 50 minit lima saat.

Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Aivaras Mikutis menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Nil Gimeno (Equipo Kern Pharma) ketiga.

– Berita Harian