KUALA LUMPUR – Pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos-Burpellet BH tampak serius bagi memberikan cabaran terbaik pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila mendapatkan dua bekas pelumba import Terengganu Cycling Team (TSG).
Pasukan yang akan membuat penampilan kali keempat berturut-turut itu mendapatkan khidmat Merhawi Kudus dan Jambaljamts Sainbayar selain mengekalkan Raja Bukit tahun lalu, Mario Aparicio Munoz.
Melengkapkan pasukan tersebut adalah tiga lagi pelumba lain iaitu David Martin, Georgios Bonglas dan Jose Manuel Diaz Gallego yang turut memiliki pengalaman melakukan kayuhan dalam LTdL.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, senarai pelumba yang dikemukakan Burgos boleh dianggap sebagai amaran awal dalam usaha mereka mengejar sekurang-kurangnya tiga gelaran pada aksi jelajah itu nanti.
“Kudus, Sainbayar, Aparicio dan Gallego adalah pelumba cukup berpengalaman serta pendaki yang diiktiraf. Mereka mungkin akan cuba memenangi peringkat ketiga (Gerik-Pasir Puteh) dan peringkat kelima (Temerloh-Bukit Fraser).
“Mereka juga pastinya akan memburu jersi hijau keseluruhan individu, jersi polka-dot Raja Bukit serta kedudukan teratas berpasukan bagi saingan keseluruhan,” katanya.
Untuk rekod, Kudus bukanlah calang-calang pelumba apabila pernah menyertai perlumbaan-perlumbaan terbesar dunia seperti Tour de France, Giro d’Italia serta Vuelta a Espana, manakala Sainbayar merupakan pendaki disegani.
“Kekuatan Burgos kali ini terarah kepada pendakian apabila memiliki empat pendaki. Amat menarik untuk melihat percaturan pasukan ini di laluan berbukit nanti, lebih-lebih lagi dibarisi Kudus, Sainbayar dan Aparicio,” ujar Emir. – KOSMO! ONLINE
Kosmo