KUALA LUMPUR: Pertarungan merebut jersi hijau (juara keseluruhan) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dijangka berlangsung sengit apabila beberapa nama besar termasuk Fredrik Dversnes (Uno-X Mobility), Aaron Gate (XDS Astana) dan wakil tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) bakal tampil dengan misi besar.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2025, Emir Abdul Jalal menyifatkan Dversnes sebagai calon utama untuk muncul juara keseluruhan (GC) selepas pelumba Norway itu menampilkan prestasi cemerlang di pentas World Tour.
“Dversnes baru sahaja memenangi perlumbaan peringkat kelima di Tirreno-Adriatico menewaskan Mathieu Van Der Poel serta Thomas Pidcock. Reputasi itu sudah cukup untuk meletakkannya antara calon utama jersi kuning,” katanya.
Selain Dversnes, rakan sepasukannya, Magnus Cort juga dijangka menjadi tumpuan kerana rekod hebat selaku pemenang peringkat di Tour de France, Vuelta a Espana dan Giro d’Italia.
Emir dalam masa sama optimis TSG mampu memberi cabaran selepas menurunkan dua pelumba pakar GC, Mathias Bregnhoj dan Adne van Engelen.
“Bregnhoj dalam momentum terbaik selepas menjuarai Tour of Turkiye selain memiliki dua GC. Van Engelen pula pernah mengutip tiga GC di Asia musim lalu. Jadi jelas TSG serius mahu memburu podium keseluruhan,” ujarnya.
Ketiadaan Fabio Jakobsen akibat kecederaan mungkin mengurangkan warna-warni di kategori pecut, namun kehadiran deretan bintang lain menjadikan LTdL 2025 tetap gah dan penuh drama di jalanan.
– Harian Metro
