KUALA LUMPUR: Pelumba XDS-Astana, Aaron Gate muncul pemenang Peringkat 8 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dari Tangkak ke hadapan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), Kuala Lumpur hari ini.

Gate melengkapkan kemenangan peringkat buat kali keempat buat Astana apabila menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam kayuhan sejauh 180.2km itu dengan catatan masa 3 jam 50 minit 05 saat.

Dia menewaskan pelumba Tudor Cycling Team, Alvaras Mikutis diikuti Nil Gimero Ferrer (Equipo Kern Pharma) yang tiba 7 saat kemudian, sebelum peloton diketuai Erland Blikra (Uno-X Mobility) tiba bersama sekelompok besar pelumba, 8 saat kemudian.

“Saya sepatutnya membantu Nico (Nicolya Vinokourov) untuk mencuri masa bonus bagi kedudukan keseluruhan (GC) tetapi dia mengalami masalah mekanikal. Jadi saya hanya mengambil peluang dan gembira dapat menang hari ini. Mungkin pengalaman sebagai pelumba trek membantu saya pada baki 4km terakhir itu.

“Hari ini, ia cukup mencabar. Saya sedar ia peringkat yang sukar tetapi tidak menjangka satu kelompok kecil pelumba menguasai kedudukan di depan. Apa pun, saya tetap gembira,” kata pelumba berusia 35 tahun dari New Zealand itu yang menang 4 emas di Sukan Komanwel 2022.

Sementara itu, Jovis Delbove nyata tidak percaya dapat bertahan sehingga ke akhir saingan untuk menjuarai kedudukan individu keseluruhan (GC) dan memenangi jersi hijau tajaan PETRONAS di akhir perlumbaan.

Dengan hanya kelebihan 3 saat, penyarung jersi hijau dari pasukan TotalEnergies itu yang telah memegangnya sejak peringkat 5 di Bukit Fraser, tetap bertahan walaupun semakin dihampiri Anders Halland Johannessen (Uno-X Mobility) dan Yannis Voisard (Tudor Cycling Team).

“Trofi yang sungguh cantik dan ia melambangkan betapa kompetitif dan besarnya perlumbaan ini. Mungkin sukar untuk membawanya pulang ke Perancis. Ingin saya nyatakan perlumbaan ini adalah satu jelajah yang sukar dan sentiasa berlangsung sengit.

“Di awal perlumbaan, saya tidak memasang sasaran tinggi, sekadar memburu 5 tempat teratas saja. Tetapi untuk menang gelaran di sini adalah sesuatu yang menggembirakan. Ini satu ganjaran yang besar buat saya dan pasukan.

“Buat masa ini, saya tidak tahu program yang dirancang oleh pasukan untuk saya tahun depan tetapi jika diundang, saya mahu kembali mempertahankan gelaran juara ini,” kata Delbove, 25.

Ketika dilepaskan di bawah cuaca panas terik, banyak cubaan meloloskan diri gagal sehingga menyaksikan empat pelumba Oliver Peace (Picnic); Marc Brustenga dan Gimero (Kern Pharma) dan Roberto Gonzalez (Solution Tech Vini Fantini) meloloskan diri selepas melepasi zon pecutan pertama di Alor Gajah.

Mereka menjarakkan diri sehingga 4 minit di depan menyebabkan peloton yang terputus kepada dua kumpulan lambat bertindak terutama di dua zon pendakian Kategori 2 di Bukit Hantu dan Ampang.

Tanpa Malucelli, Blikra yang juga Raja Pecut 2023, bijak menggunakan kesempatan itu bagi mempertahankan kedudukan teratas pungutan mata Raja Pecut dan dinobatkan sebagai pemenang jersi tajaan KBS itu dengan 63 mata, 12 mata di depan pelumba Tudor, Arvid de Kleijn dan Manuel Penalver (Team Polti VisitMalta).

Dengan bekalan 15 mata yang dipungut di Gerik pada Peringkat 3, Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) terus unggul dengan 15 mata untuk dinobatkan sebagai Raja Bukit dalam PLTdL25 ini untuk memenangi jersi polka dot tajaan BubblesO2.

Jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda terus kekal menjadi milik Nicolya Vinokourov (Astana) yang terpkasa akur gagal meraih jersi hijau di akhir Peringkat 8 itu.

Sementara itu, Polti muncul juara berpasukan keseluruhan manakala pasukan Benua Indonesia, Nusantara-BYC menjadi juara bagi kategori pasukan terbaik Asia.

Edisi ke-29 PLTdL25 yang membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2km berstatus 2.0Proseries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI itu bermula di Pulau Langkawi, Ahad lalu.

Ia dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).