KEPALA BATAS: Perseteruan antara dua pakar pecut, Arvid De Kleijn dan Matteo Malucelli yang berlangsung di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu rupanya belum berakhir apabila pertarungan mereka dibawa pada edisi ke-29 tahun ini, selepas kedua-duanya bergilir merangkul gelaran juara peringkat.
Selepas Malucelli dari (XDS Astana) muncul juara di Peringkat Pertama LTdL 2025 di Pulau Langkawi, semalam, giliran De Kleijn (Tudor Pro Cycling Team) pula menunjukkan kehebatannya berentap beramai-ramai di garisan penamat pada perlumbaan sejauh 163 kilometer (km) dari Padang Besar ke Kepala Batas, hari ini.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 29 minit 59 saat, untuk mengetepikan Raja Bukit musim lalu itu di tempat kedua, manakala pelumba VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Enrico Zanoncello di tempat ketiga.
De Kleijn yang meraih kejuaraan sulungnya musim ini mengakui sudah merasakan berada pada keadaan terbaik sejak beberapa minggu lalu, selepas sebelum ini mendapat keputusan tidak diinginkan.
“Saya datang ke sini untuk menang dan saya tahu boleh melakukannya dengan bantuan rakan sepasukan.
“Mereka melakukan kerja dengan hebat dan meletakkan saya di kedudukan betul,” kata pelumba berusia 31 tahun itu.
Tahun lalu, pelumba Itali itu tidak merasai nikmat selaku juara peringkat, tatkala Malucelli merangkul tiga kemenangan dan memenangi jersi jingga selaku Raja Pecut dengan hanya dibezakan dua mata.
Bagaimanapun, Malucelli masih lagi menyandang jersi hijau (pendahulu keseluruhan) dan jingga (Raja Pecut), manakala pelumba St George Continental Cycling Team, Ben Carman mengekalkan jersi polka dot selepas tiada zon pendakian ditawarkan hari ini.
Jersi putih selaku terbaik Asia masih kekal milik Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG), manakala rakan sepasukannya Wan Abdul Rahman Hamdan muncul pelumba terbaik negara peringkat kedua hari ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Seorang lagi pelumba negara, Izzat Hilmi Abdul Halil yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC) menamatkan saingan hari ini di tempat ketujuh.
Perlumbaan Peringkat Ketiga akan bersambung dari Gerik ke Pasir Puteh sejauh 198.2km, esok, yang menawarkan tiga zon pendakian di Gerik, Sri Banding dan Puncak Titiwangsa, manakala zon pecutan pula membabitkan Jeli, Bukit Bunga dan Machang.
– Harian Metro