PORT DICKSON: Pengarah Sukan XDS Astana, Mark Renshaw, mengesahkan ‘ayam tambatan’ pasukan, Matteo Malucelli tidak akan meneruskan dua baki perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas mengalami hentakan kuat pada bahagian kaki kirinya.
Malucelli yang juga penyandang Jersi Jingga selaku Raja Pecut, mengalami kemalangan pada kilometer 16.5 saingan Peringkat 6 dari Shah Alam ke Port Dickson hari ini.
Kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat dan membabitkan beberapa pelumba termasuk pelumba Erland Blikra namun wakil Uno-X Mobility itu berjaya untuk meneruskan perlumbaan. Malucelli pula berdepan nasib berbeza apabila terpaksa menarik diri daripada perlumbaan sebelum dibawa ke hospital.
“Doktor akan menjalankan pemeriksaan X-ray untuk menentukan tahap kecederaan, tetapi yang pasti, perlumbaannya di LTdL sudah tamat,” kata Renshaw ketika ditemui media.
Dengan situasi yang berlaku itu, Renshaw berkata, pasukan kini terpaksa menggunakan ‘Pelan B’ dengan memberi tumpuan kepada saingan klasifikasi keseluruhan (Jersi Hijau).
“Kami akan mengalihkan fokus kepada Nicholas Vinokurov bagi memburu beberapa saat bonus dan terus memberi sokongan kepada Aaron Gate dalam saingan berbaki dua peringkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal, menyifatkan penarikan diri pelumba Itali berusia 31 tahun itu sebagai satu kehilangan besar buat edisi ke-29 perlumbaan berprestij Asia itu.
“Malucelli adalah juara Jersi Jingga musim lalu dan sudah memenangi tiga peringkat pada edisi kali ini. Tetapi untuk terus bersaing dalam perebutan jersi, setiap pelumba perlu menamatkan kesemua lapan peringkat. Maka, semua mata yang diraihnya kini terbatal secara automatik,” kata Emir.
Malucelli sebelum ini meraih tiga kemenangan iaitu di Peringkat 1 di Langkawi, Peringkat 3 (Gerik ke Pasir Puteh) dan Peringkat 4 (Kuala Terengganu ke Kemaman).
– Berita Harian