BANTING: Harapan pendahulu gelaran Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, Matteo Malucelli untuk terus menguasai saingan berkubur selepas pelumba pasukan XDS Astana itu gagal menamatkan perlumbaan peringkat keenam hari ini.
Malucelli, yang menyarung Jersi Jingga selaku pendahulu klasifiasi pecut, terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan berlangsung dalam keadaan hujan dari Shah Alam ke Port Dickson sejauh 123.5 kilometer.
Insiden itu berlaku seawal kilometer 16.5 apabila pelumba Itali itu terbabit dalam perlanggaran dengan pelumba pasukan Uno-X Mobility, Erland Blikra.
Bagaimanapun, Blikra yang berasal dari Norway berjaya meneruskan perlumbaan, manakala Malucelli terpaksa mengangkat ‘bendera putih.’
Kemalangan itu menyaksikan Malucelli tidak dapat meneruskan baki dua peringkat terakhir saingan LTdL musim ini, sekali gus mengakhiri cabaran pelumba berpengalaman itu.
Sebagai rekod, Malucelli sudah meraih tiga kemenangan, masing-masing di peringkat pertama di Langkawi, peringkat ketiga (Gerik ke Pasir Puteh) dan peringkat keempat (Kuala Terengganu ke Kemaman).
– Berita Harian