KEMAMAN: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil berpuas hati selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh buat kali kedua pada Peringkat Keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.

“Alhamdulillah, nombor tujuh hari ini lebih baik berbanding semalam (peringkat ketiga). Rakan sepasukan saya banyak bantu daripada awal sampai ke akhir perlumbaan.

“Kilometer terakhir memang paling mencabar sebab ada dua selekoh bahaya.

“Saya cuba pertahankan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dan akhirnya dapat tempat ketujuh.

Sebenarnya sasaran saya podium, tapi dapat nombor tujuh pun syukur,” katanya.

Mengulas cabaran ke Bukit Fraser pada Peringkat Kelima esok, Izzat mengakui dia lebih realistik dengan kemampuan diri.

“Esok di Bukit Fraser saya hanya cuba kekal selamat. Biasanya bila mendaki panjang, pelumba pecut macam saya akan ketinggalan dan naik bersama kumpulan sendiri hingga ke puncak.

“Jadi fokus saya lebih kepada bertahan,” katanya.

Izzat turut menilai prestasi keseluruhan pasukan yang dianggap semakin meningkat sepanjang perlumbaan.

“Semalam memang agak sukar dengan pecutan menjunam, tapi hari ini lebih baik.

“Malah rakan sepasukan saya (Ahmad Shazrin Awang Ilah) pun berjaya tamat di kedudukan ke-12, rasanya itu prestasi terbaik dia setakat ini. Jadi Alhamdulillah, kami semakin tunjuk peningkatan,” katanya.

Selepas mendapat kedudukan kedua terbaik Malaysia di Peringkat Kedua dari Padang Besar ke Kepala Batas Isnin lalu, di belakang Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu Cycling Team (TSG), Izzat hari ini berjaya mencetak nama sebagai wakil tempatan paling berjaya.

Ketika itu dia menduduki tempat sama iaitu di kedudukan ketujuh, jadi selepas separuh saingan perlumbaan berstatus 2.Pro ini dia sudah dua kali menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik.

– Harian Metro