GERIK Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abd Halil menyasarkan untuk bangkit dengan kayuhan terbaik pada peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Izzat, 30, mengakui peringkat pertama di Langkawi tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila sekadar menamatkan saingan di luar kelompok utama, namun tetap berpuas hati kerana berjaya mengelak sebarang kecederaan.

“Alhamdulillah, syukur kerana dapat menamatkan saingan dengan selamat walaupun kedudukan saya sekitar tempat ketujuh puluh. Paling penting keselamatan.

“Untuk esok (hari ini), peringkat bermula dari Kuala Terengganu sudah tentu mencabar kerana kayuhan terus bermula dengan pendakian. Saya akan cuba bertahan dalam kelompok besar dan habiskan perlumbaan,” katanya.

Menurutnya, peringkat keempat yang menjadi tumpuan ramai pelumba sebagai penentu jersi kuning akan dijadikan medan terbaik untuk dia membalas kekecewaan peringkat awal.

“Saya memang letak sasaran di pentas ini kerana ia dianggap ‘King Stage’. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik dan mahu membuktikan kemampuan walaupun saingannya cukup sengit,” jelasnya.

Semalam, Izzat menamatkan perlumbaan di kelompok 10 terbaik apabila menduduki tempat ketujuh, kedua terbaik negara di belakang Wan Abdul Rahman Hamdan dari Terengganu Cycling Team (TSG).

Peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman sejauh 141.5 kilometer dengan tiga zon pecutan di Marang, Dungun dan Paka, manakala satu zon pendakian CAT 4 di Kijal.

– Harian Metro