PORT DICKSON: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil seakan menemui kayuhan diidamkan apabila menamatkan perlumbaan Peringkat 6 dari Shah Alam ke Port Dickson dengan berada di kedudukan keempat terbaik, hari ini.

Keputusan itu tampak melegakan buat pelumba berusia 30 tahun itu selepas edisi LTdL tahun ini dan 2024 menyaksikan dirinya hanya memperoleh penamat terbaik di kedudukan ketujuh.

Pencapaian terbaiknya adalah pada 2023 yang menyaksikan Izzat berjaya menemui penamat keempat di Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu.

Biarpun berpuashati dengan keputusan diraih hari ini, Izzat yang dinobatkan Pelumba Terbaik Asia dan ASEAN bagi Peringkat 6 berkata, dia masih ingin untuk terus mencuba terutama melengkapkan misinya memburu penamat di podium.

“Perlumbaan hari ini agak mencabar juga terutama pada kilometer terakhir. Saya tidak berapa sihat sebenarnya, ada batuk tetapi saya cuba lakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah, sasaran saya untuk berada dalam kelompok lima terbaik hari ini (tercapai) tetapi kalau boleh, memang nak penamat di podium,” kata Izzat yang mengakui dirinya tidak berkayuh dalam keadaan sihat 100 peratus.

LTdL 2025 kini hanya berbaki dua peringkat perlumbaan dengan saingan esok membabitkan laluan sejauh 214.9km dari Melaka ke Medini yang merangkumi tiga zon pecutan di Sungai Rambai, Semerah dan Pontian.

Kemuncak perlumbaan peringkat LTdL 2025 dijadual berlangsung pada Ahad membabitkan laluan dari Tangkak ke Kuala Lumpur sejauh 180.2km yang merangkumi tiga zon pecutan di Alor Gajah, Seremban, Semenyih dan tiga zon pendakian di Setul, Bukit Hantu dan Ampang Look Out Point.

“Saya akan terus mencuba dan walau apapun, saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

– Berita Harian