KUALA LUMPUR: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bakal menampilkan keunikan tersendiri apabila jersi pendahulu keseluruhan buat kali pertama ditukar kepada warna hijau berbanding kuning yang digunakan sejak penganjuran diperkenalkan pada 1996.

Keputusan itu dibuat selepas syarikat Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS tampil sebagai penaja perdana bagi perlumbaan bertaraf ProSeries berkenaan untuk tempoh selama tiga tahun sehingga 2025.

Tanpa mendedahkan nilai penajaan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata sebagai penaja perdana, PETRONAS diberikan ‘hak nama’ atau ‘naming rights’ kepada acara dengan logo rasmi turut ditukar kepada PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023, yang membawa logo PETRONAS pada kesemua penjenaman acara LTdL.

Katanya, PETRONAS juga diberikan hak menaja jersi pendahulu keseluruhan yang menjadi jersi rebutan utama yang diimpikan oleh semua pelumba yang bertanding.

“Penganjur yang sudah 26 tahun menampilkan jersi utama pendahulu keseluruhan berwarna kuning sebelum ini, buat kali pertamanya menukar kepada warna hijau PETRONAS, seperti jersi kuning ‘mailot jeune’ di Tour de France dan jersi merah jambu ‘maglia rosa’ di Giro d’Italia.

“Berdasarkan nilai pulangan kepada penaja, dan saya percaya MSN (Majlis Sukan Negara) mampu melaksanakan yang terbaik, sebab itu kabinet menyerahkan tugas ini kepada MSN sebagai agensi pelaksana.

“Manfaat (LTdL) bukan sahaja dari nilai ekonomi yang kami dapat bila kita anjur acara seperti ini tetapi juga untuk golongan belia dan rakyat yang menonton,” katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan rakan penaja perdana LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Datin Anita Azrina Abd Aziz berkata usaha PETRONAS memberi tajaan utama adalah bagi memberi sokongan kepada arena sukan tanah air.

“Sebagai penaja perdana pulangan kepada kami lebih dari apa yang kami berikan seperti nilai dari media, pelaburan kepada atlet Malaysia, dan juga sport tourism,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang bersama MSN untuk mempertimbangkan mengadakan LTdL di luar venue sedia ada seperti di Sabah dan Sarawak.

LTdL 2023 akan menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan (berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental) selain pasukan kebangsaan.

Secara keseluruhan edisi kali ini menyaksikan laluan yang merangkumi 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).

– Berita Harian