KUALA LUMPUR: Edisi ke-28 Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini bakal menjadi perlumbaan paling mencabar dalam sejarah penganjuran dengan Langkawi kembali tersenarai dalam laluan selain menyaksikan dua peringkat perlumbaan berlangsung di Sarawak.

Bakal berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober 2024, perlumbaan berstatus Proseries itu menawarkan persaingan lapan peringkat dengan Miri serta Bintulu terpilih menjadi hos buat kali pertama.

Lebih menarik saingan itu akan menyelusuri 11 negeri dengan laluan sejauh 1,191.1 kilometer (km) menawarkan dua pendakian berturut-turut berstatus Hors iaitu pada peringkat ketiga di Cameron Highlands diikuti pendakian ke Genting Highlands untuk peringkat keempat.

Laluan berkenaan bakal menyajikan persaingan lebih menarik untuk perebutan juara keseluruhan yang dilihat memberi persaingan seimbang buat semua pakar pecut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir merasmikan majlis pelancaran laluan LTdL 2024, hari ini, turut mengumumkan keputusan mengekalkan tema perlumbaan ‘Beat The Heat’ yang diakui memikat perhatian selain mencetus persaingan bertaraf tinggi di antara pelumba.

“Tahun 2024 menjanjikan ujian lebih mencabar untuk penganjuran LTdL apabila ia bukan saja kembali ke Langkawi, malah akan ke Sarawak pada 5 dan 6 Oktober untuk dua peringkat terakhir (7 dan 8).

“Pemilihan dua peringkat di Sarawak adalah untuk membawa perlumbaan berprestij ini dinikmati oleh rakyat tempatan dan Bintulu dan sebelum ini LTdL pernah berlangsung di Kuching pada 2020,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Pemangku Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mazlan Mat Jalil.

Tiga pasukan berbasikal negara dijangka menyertai perlumbaan kali ini membabitkan Pasukan Kebangsaan Malaysia, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).

Selain tiga pasukan negara, penyertaan lain dijangka akan diterima dari negara seperti Kazakhstan, Amerika Syarikat, Australia, Itali, Sepanyol, Switzerland, China, Indonesia dan Jepun.

Bagaimanapun status pengesahan membabitkan penyertaan World Team, Pro Team dan pasukan benua hanya akan dapat dipastikan Ogos ini.

LTdL mula dianjurkan sejak 1996 dengan empat jersi menjadi rebutan iaitu juara keseluruhan (jersi kuning), raja pecut, raja bukit dan pelumba terbaik Asia dengan jumlah hadiah kemenangan keseluruhan bernilai RM850,000.

– Harian Metro