KEMAMAN: Jarak 100 meter (m) terakhir digunakan sebaiknya oleh pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli untuk melakukan henjutan luar biasa bagi membolehkannya meraih kemenangan di Peringkat Keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sejauh 141.5 kilometer (km) dari Kuala Terengganu ke Kemaman hari ini.
Pelumba berusia 31 tahun itu bukan sahaja mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas muncul juara di Peringkat Ketiga semalam, malah turut menaiki podium teratas LTdL buat kali keenam sejak tahun lalu.
Dia yang berasal dari bandar pertanian dan industri, Forli di Itali melintasi garisan penamat dengan catatan masa tiga jam 17 minit 56 saat (s), meninggalkan pelumba Team Polti VisitMalta, Manuel Penalver di tempat kedua, manakala Erlend Blikra dari Uno X Mobility di tempat ketiga.
Malucelli yang juga Raja Pecut tahun lalu, masih menyandang jersi hijau (klasifikasi keseluruhan) selepas mengumpul masa 13:15.45s, meninggalkan Blikra (+0:22s) dan rakan sepasukan, Aaron Gate (0:26s).
Dia turut menyarung jersi jingga (Raja Pecut) dengan mengumpul 57 mata, diikuti Blikra (33) dan Penalver (28).
“Saya menang dengan pasukan yang hebat, ‘lead out’ yang hebat. Kebiasaannya saya lakukan semua berseorangan, tetapi hari ini pasukan bekerja dengan sangat baik.
“Ini peringkat keempat kami bersama dan kini kami sudah temui rentak. Satu lagi kemenangan, dan esok (peringkat pendakian) saya akan berehat sedikit.
“Esok saya cuba simpan tenaga. Masih ada tiga peringkat rata lagi, jadi saya tidak akan cuba menang di garisan penamat.
“Ia luar biasa, tiga kemenangan daripada empat peringkat. Banyak perkara berubah berbanding tahun lalu, terutama pemikiran saya.
“Dalam pasukan besar seperti Astana, kemenangan dianggap normal, jadi saya gembira kerana pasukan percaya pada saya dan kaki saya juga rasa baik,” kata Malucelli.
Jersi polka dot selaku Raja Bukit disandang Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) mengumpul 15 mata, manakala Jambaljamts Sainbayar (Burgos Burpellet BH) di tangga kedua dengan pungutan mata sama, diikuti pelumba Unibet Tietema Rockets, Cedrik Bakke Christophersen (7).
Jersi putih selaku terbaik Asia kekal milik pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy (13:16:18s), diikuti wakil Thailand Continental Cycling Team, Thanakhan Chaiyasombat (13:16:18s) dan George Matsui dari Aisan Racing Team (13:16:19s).
Peringkat kelima esok akan bermula dari Temerloh ke Bukit Fraser sejauh 123.1km dengan tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga, manakala zon pendakian di Raub dan Bukit Fraser.
– Harian Metro