KUALA LUMPUR – EQUIPO Kern Pharma yang dipilih menggantikan pasukan WorldTeam Cofidis, mahu membuktikan mereka bukan sekadar pasukan gantian walaupun menerima undangan kira-kira enam minggu sebelum bermula saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25), yang bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Tampil dua kali berturut-turut sebelum ini, pasukan ProTeam dari Sepanyol itu bakal menurunkan tiga pelumba yang pernah berkayuh di Malaysia, untuk memastikan mereka dapat mempertahankan kedudukan terbaik berpasukan keseluruhan tahun lalu, sambil Unai Iribar Jauregi dijangka mengetuai cabaran merebut jersi hijau klasifikasi individu keseluruhan tajaan Petronas.
Dua lagi muka lama pasukan itu Jorge Gutierrez Gonzalez, 22, yang turut beraksi tahun lalu, manakala seorang lagi pendaki, Ivan Cobo Cayion, 25, pernah bersaing pada PLTdL23.
Dua pakar pecut yang dihantar kali ini adalah Marc Brustenga Masague, 25; dan Miguel Angel Fernandez Ruiz, 28; manakala pelumba berusia 21 tahun, Nil Gimeno Ferrer dijangka memikul peranan sebagai pelumba pembantu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, Equipo Kern Pharma memberi maklum balas segera sebaik diundang bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cofidis.
“Kami memang meletakkan mereka dalam senarai teratas dalam kalangan empat pasukan yang menunjukkan minat untuk berkayuh di PLTdL25, dan sebaik diundang, mereka lantas memberi lampu hijau.
“Ini mencerminkan satu pengiktirafan dan hasrat tinggi pasukan itu untuk berlumba di Malaysia, lebih-lebih lagi selepas mereka menjuarai gelaran berpasukan manakala pelumbanya, Unai Iribar hanya tercicir 20 saat di belakang pemenang jersi hijau Petronas tahun lalu, Max Poole,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sekalipun agak kecewa gagal merebut tiket wildcard berkayuh di Vuelta a Espana tahun ini, Kern Pharma tetap sibuk dengan jadual perlumbaan di seluruh Eropah dan Asia sejak Januari lalu, dengan mengumpul tiga kemenangan pada tahun ini.
Brustenga, bekas pelumba pasukan WorldTeam Lidl-Trek, dijangka akan mengetuai cabaran Kern Pharma di laluan landai selepas beberapa kali terlepas kedudukan podium sepanjang tahun ini.
Dia menduduki tempat keempat di Tour of Hongrie dan dua kali di tempat kelima pada Presidential Tour of Turkiye, selain keenam di Tour of Britain.
Brustenga dijangka akan dibantu Fernandez, bekas pelumba Burgos-BH yang turut kecewa dua kali di tangga keempat dalam Tour of Qinghai Lake tahun ini.
Dalam senarai tiga pendaki tahun ini, Iribar tampak sedikit bergelut dengan prestasinya tetapi Cobo, yang menduduki tangga keempat keseluruhan di O Grand Camino, ke-11 keseluruhan di Tour of Qinghai Lake dan ketiga di Tour du Doubs tahun ini serta pelumba tangga kelapan keseluruhan tahun lalu, Gutierrez Gonzalez dijangka akan saling membantu, terutama di laluan berbukit Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser).
Menurut Emir, Kern Pharma seharusnya menjadi antara pasukan yang dihormati pada PLTdL25 ini kerana setiap pelumbanya secara konsisten memberikan keputusan baik di setiap peringkat, sekaligus membolehkan pasukan itu berdiri di podium pada dua penampilan mereka pada 2023 dan 2024.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung, akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,224.2km.
Perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
SENARAI PELUMBA EQUIPO KERN PHARMA
- MARC BRUSTENGA MASAGUE (ESP)
- MIGUEL ANGEL FERNANDEZ RUIZ (ESP)
- IVAN COBO CAYION (ESP)
- NIL GIMENO FERRER (ESP)
- UNAI IRIBAR JAUREGI (ESP)
- JORGE GUTIERREZ GONZALEZ (ESP)