KUALA LUMPUR: Pasukan ProTeam dari Sepanyol, Equipo Kern Pharma dijangka bakal mempertaruhkan barisan pelumba terkuat mereka pada penampilan ketiga berturut-turut di Le Tour de Langkawi 2025 dari 28 September hingga 5 Oktober ini.
Kern Pharma yang diumum sebagai pengganti kepada pasukan WorldTeam dari Perancis, Cofidis kelmarin, memiliki beberapa pelumba yang mampu mencabar dan berpengalaman di perlumbaan ini seperti juara LTdL 2022, Ivan Sosa, Unai Iribar dan Ibon Ruiz serta Jorge Gutierrez.
“Buat masa ini, kita belum mendapat senarai enam pelumba yang akan dihantar ke LTdL25 ini tetapi daripada 22 orang pelumba pasukan itu, ada terselit juara LTdL22 iaitu Ivan Sosa.
“Pasti menarik sekiranya Kern Pharma turut meletakkan nama bekas pelumba Movistar dari Colombia ini (Sosa),” kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL25, Emir Abdul Jalal.
Kern Pharma memiliki rekod cemerlang pada penampilan sulung di LTdL 2023 dengan dua pelumbanya Pablo Castillo Zapater menduduki tangga ketiga keseluruhan, 58 saat (s) di belakang pemenang jersi hijau individu keseluruhan Simon Carr (EF Education) manakala Jon Agirre Egana di tangga kelapan.
Pada ketika itu, pasukan menutup tirai perlumbaan dengan menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam senarai Pasukan Terbaik, di bawah EF Education dan Euskaltel-Euskadi.
Mereka dilihat semakin matang apabila menunjukkan peningkatan prestasi pada tahun lalu dengan menjuarai kategori Pasukan Terbaik, 1:39s di depan Astana.
Malah, tiga pelumbanya dalam kelompok 10 teratas dengan Iribar di tangga ketiga individu keseluruhan, diikuti Ruiz (ketujuh) dan Gutierrez (kelapan).
“Kami yakin, selepas dua tahun berturut-turut berpengalaman merasai liku-liku perlumbaan LTdL, Kern Pharma akan menghantar barisan kuat mereka, lebih-lebih lagi mereka tidak tersenarai dalam pasukan wildcard ke Vuelta a Espana tahun ini,” kata Emir.
Tanpa Cofidis, dua pasukan WorldTeam yang akan bersaing nanti adalah XDS Astana dan Team Picnic PostNL manakala Kern Pharma menyertai lapan pasukan ProTeam lain yang sudah mengesahkan penyertaan iaitu VF Group-Bardiani CSF-Faizane; Team Polti VisitMalta; Solution Tech Vini Fantini; Burgos Burpellet BH; Unibet Tietema Rockets; Total Energies; Tudor Pro Cycling; dan Uno-X Mobility.
BERITA HARIAN