KUALA LUMPUR: Kemungkinan ketiadaan juara keseluruhan, Max Poole dan juara pecut 2023, Simon Pellaud di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dilihat tidak akan merencatkan kehangatan edisi ke-29 yang dijadual berlangsung 28 September hingga 5 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, edisi kali ini tetap akan berlangsung dengan penuh sengit dengan kehadiran 22 pasukan merangkumi tiga pasukan WorldTeam (WT), lapan pasukan ProTeam (PT), 10 pasukan berstatus benua dan satu pasukan kebangsaan iaitu Malaysia.

Tiga pasukan WT yang sudah mengesahkan penyertaan adalah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL (Belanda) yang dikenali sebagai DSM-Firmenich PostNL pada musim lalu dan Cofidis (Perancis).

“Namun, kami percaya saingan kali ini tetap menjadi tumpuan ramai kerana pasukan itu ada menyenaraikan pakar pecut handalannya, Fabio Jakobsen manakala pasukan Uno-X ada menyenaraikan Alexander Kristoff dalam barisan awalnya sementara Tudor pula meletakkan pakar pecut, Alberto Dainese.

“Bagi kami, ini adalah satu penghormatan besar kerana saingan kali ini turut disertai tiga nama besar yang mempunyai koleksi kemenangan dalam jelajah Grand Tour dan pelbagai perlumbaan jelajah Eropah dan klasik sehari, sekali gus mengangkat profil dan imej LTdL itu sendiri,” kata Emir dalam satu sidang media pengumuman pasukan LTdL 2025, hari ini.

Dalam pada itu enam daripada lapan pasukan PT turut berlumba dalam tiga jelajah Grand Tour iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility (Tour de France); VF Group-Bardiani CSF-Faizane dan Team Polti VisitMalta (Giro d’Italia) serta Burgos-BH (Vuelta a Espana).

Dua pasukan PT lain adalah pasukan muka baharu dari Perancis, Unibet Tietama Rockets dan Team Solution Tech-Vini Fantini (Itali).

Perlumbaan turut disertai 10 pasukan berstatus benua termasuk dua pasukan tempatan iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) selain skuad kebangsaan negara.

Tujuh pasukan benua lain memang tidak asing dalam jelajah berstatus ProSeries Asia ini iaitu Nusantara-BYC (Indonesia), HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO Professional (Korea Selatan), St George Continental Cycling Team (Australia), 7Eleven Cliqq Roadbike (Filipina), Thailand Continental Cycling Team (Thailand) serta pasukan muka baharu, Chengdu DYC Cycling Team (China) yang akan membuat penampilan kali pertama.

LTdL 2025 yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8 kilometer (km) kali ini tetap berada dalam kategori antara jelajah terunggul di benua Asia berdasarkan jumlah penyertaan pasukan WT dan PT.

– Berita Harian