KUALA LUMPUR: Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bakal menampilkan kelainan apabila memperkenalkan teknologi terkini, kamera badan untuk digunakan oleh komisar dan juga di motosikal mereka.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bertindak sebagai penganjur LTdL 2023, penggunaan teknologi itu bakal membantu dari sudut menganalisa sebarang protes ketika perlumbaan.

“Kamera badan akan merakam apa-apa saja yang berlaku. Sekiranya terdapat protes, kamera badan akan digunakan sebagai bukti untuk menilai dan sebagainya. Ini salah satu kelebihan penggunaan kamera badan ini.

“LTdL kali ini menggunakan teknologi terkini yang digunakan di perlumbaan jelajah yang lain. Jadi kita cuba dengan bantuan rakan-rakan (penaja) kita, kita gunakan teknologi berkenaan,” kata Shapawi dalam sidang akhbar pada majlis pengumuman penaja LTdL 2023, di sini, hari ini.

Tiga penaja tersebut adalah syarikat pembekal pakaian dan barangan rasmi, PACE; TikTok Malaysia (rakan penaja media sosial rasmi) dan Dahua Technology (pembekal peralatan dan perkhidmatan komunikasi rasmi) dengan jumlah tajaan keseluruhan merangkumi lebih RM1 juta.

Sementara itu, lima pasukan akan tiba lebih awal bagi membuat penyesuaian dan persediaan bagi merangka strategi sebelum memulakan perlumbaan pada 23 September.

Lima pasukan tersebut Green Project-Bardiani CSF-Faizane (Itali), Team Corratec-Selle Italia (Itali), Bolton Equities Black Spoke Pro Cycling (New Zealand), Li Ning Star (China) dan KSPO Professional (Korea Selatan).

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1.277.1 kilometer (km).

Peringkat 1 dijadual bermula 23 September ini di Kerteh, Terengganu dan keseluruhan perlumbaan bakal menyelusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dengan kemuncak berakhir di Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

– UTUSAN ONLINE