TERMERLOH: Biarpun sasaran untuk mencatat kemenangan profesional ke-100 masih belum kesampaian, pelumba berpengalaman Uno-X Mobility, Alexander Kristoff tidak menjadikannya sebagai tekanan utama dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Kristoff, 37, yang pernah menjulang kemenangan peringkat di Tour de France, mengakui saingan kali ini bukan mudah terutama apabila pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli berada dalam prestasi luar biasa dengan tiga kemenangan peringkat setakat ini.
“Tidak begitu optimis kerana Malucelli kelihatan sangat kuat. Ia sukar, tetapi kami belum berputus asa.
“Kalau saya tidak sampai 100 kemenangan pro, saya masih ada lebih 100 kemenangan UCI, jadi ia tidaklah terlalu penting,” katanya kepada media.
Kristoff yang kali terakhir meraih kemenangan di Peringkat 2 Arctic Race of Norway berstatus 2.Pro, Ogos lalu dan juga yang ke-98 dalam kariernya.
Pelumba dari Norway yang bakal bersara pada penghujung tahun ini hampir meraih kemenangan ke-99 ketika Peringkat 3 LTdL 2025 dari Gerik ke Pasir Puteh, Isnin lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Namun hasrat kemenangannya ‘ditangguhkan’ Malucelli yang terlebih dahulu melintasi garisan penamat di Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam sidang media rasmi sebelum ini, Kristoff memilih Malaysia sebagai medan untuknya melengkapkan pemburuan kemenangan profesional ke-100 dalam kariernya sebelum bersara.
– Berita Harian