Kuala Lumpur: Pelumba ProTeam Uno-X Mobility, Alexander Kristoff dianggap antara pencabar perlu diberi perhatian pada Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL) bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Meskipun berada di penghujung karier tetapi dengan deretan 98 kemenangan sepanjang karier profesional selama 20 tahun, Kristoff mempunyai pengalaman luas untuk sekurang-kurangnya menambah koleksi kejayaan di LTdL edisi kali ini.
Ini kerana laluan setiap peringkat tampak sesuai dengan kredibilitinya sebagai pakar pecut dan puncher (gemar membuat pemecahan secara solo).
Tatkala tumpuan terarah kepada rakan sepasukan iaitu Raja Pecut 2022, Erlend Blikra untuk mengulangi pencapaiannya ketika pasukan itu tampil buat kali pertama tiga tahun lalu, laluan panjang seperti Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh); Peringkat 7 (Melaka-Medini) dan Peringkat 8 (Tangkak-KLCC) seolah-olah amat sesuai dengan gaya Kristoff yang menggemari perlumbaan klasik sehari.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Kristoff pada edisi ke-29 adalah penghormatan cukup besar buat peminat sukan berbasikal di Malaysia selepas pelumba 38 tahun itu mengumumkan akan bersara pada penghujung musim ini.
“Walaupun Kristoff sudah melepasi era emasnya, kelibatnya di LTdL tahun ini sudah cukup menarik tumpuan ramai. Dengan pengalaman luas berkayuh di Grand Tour dan perlumbaan klasik monumen, tidak hairan sekiranya dia terus menambah angka kemenangan,” kata Emir dalam satu kenyataan.
Untuk makluman, Kristoff antara pelumba Norway paling berjaya dalam sejarah sukan itu dan pernah menduduki ranking kedua UCI pada 2015 dan tempat kedua Kejohanan Dunia 2017.
Dia mula mencipta nama ketika bersama pasukan Glud & Marstrand-Horsens pada 2006 dan menyarung jersi pasukan handalan dunia seperti BMC Racing, Team Katusha, UAE Team Emirates dan Intermarche-Wanty Gobert sebelum menyertai Uno-X pada 2023.
Dengan empat kemenangan peringkat di Tour de France serta kemenangan klasik monumen seperti Milan-San Remo, Gent-Wevelgem dan Tour of Flanders ketika zaman kegemilangannya, Kristoff masih bertenaga apabila mencatat dua kemenangan pada tahun ini iaitu di Peringkat 3 Vuelta a Andalucia dan terbaru pada Peringkat 2 Arctic Race of Norway, 8 Ogos lalu.
HARIAN METRO