TANGKAK: Suasana penuh emosi menyelubungi Dataran Tangkak sebentar tadi apabila pelumba berpengalaman Norway, Alexander Kristoff, menerima kawalan kehormatan istimewa (Guard of Honour) sebelum permulaan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, simbol rasmi persaraannya daripada dunia berbasikal profesional.

Acara bersejarah itu bertambah istimewa apabila Kristoff menaiki beca khas yang dikayuh legenda pecut negara, Anuar Manan, ketika melalui barisan kawalan kehormatan yang dilakukan pelumba lain sebelum perlumbaan peringkat terakhir edisi ke-29 ini dimulakan.

Biarpun pada awalnya berhasrat menamatkan kariernya dengan berlumba hingga ke peringkat terakhir termasuk memburu dua kejuaraan bagi melengkapkan 100 kemenangan, pelumba pasukan Uno X Mobility itu terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan pada peringkat ketujuh semalam.

“Saya sebenarnya secara rasmi sudah bersara sekarang kerana tidak akan berlumba hari ini. Saya hanya berada di sini untuk mengucapkan selamat tinggal. Perlumbaan semalam sepatutnya bukan yang terakhir, tetapi akibat kemalangan, saya tidak dapat bermula hari ini,” katanya.

Kristoff mengakui terharu dengan penghormatan diberikan pihak penganjur dan pelumba lain yang disifatkannya sebagai detik paling bermakna dalam penamat kariernya.

“Saya memang berharap dapat berlumba sehari lagi, tetapi penghormatan sebegini amat istimewa. Ia sesuatu yang saya akan kenang selama-lamanya. Saya berbangga dengan apa yang saya capai dan bersyukur dapat berada dalam peloton profesional selama bertahun-tahun,” ujarnya.

Sepanjang kariernya, Kristoff menempatkan diri antara pelumba pecut paling disegani dunia dengan kemenangan besar seperti Milan–San Remo (2014), Tour of Flanders (2015), empat kemenangan peringkat Tour de France, selain menjuarai Kejohanan Eropah 2017, tempat ketiga Sukan Olimpik London 2012 dan naib juara Kejohanan Dunia.

Mengimbas perjalanan awalnya, Kristoff berkata dua pelumba legenda Itali, Mario Cipollini dan Alessandro Petacchi, menjadi idola utamanya ketika masih muda, selain turut mengagumi rakan senegara yang kini menjadi bosnya di Uno X Mobility, Thor Hushovd.

“Ketika muda saya banyak belajar daripada cara Cipollini dan Petacchi memecut. Tapi sebagai rakyat Norway, saya juga sangat menghormati Hushovd dan selalu berharap dia mengalahkan pakar pecut lain,” katanya sambil tersenyum.

Pada usia 38 tahun, Kristoff kini bersedia menempuh fasa baharu kehidupan apabila bakal menimang cahaya mata kelima Februari depan, di samping membantu penganjuran Tour of Norway, jelajah berbasikal yang berpangkalan di bandar kelahirannya.

“Mulai tahun depan saya akan bantu sedikit dengan Tour of Norway. Tapi buat masa ini, saya mahu luangkan lebih masa bersama keluarga kerana hidup saya sudah cukup sibuk,” katanya.

Kristoff turut memuji penganjuran LTdL 2025 yang disifatkannya antara jelajah paling tersusun dan selamat pernah disertainya.

“Ini kali pertama saya di Malaysia dan saya sangat suka perlumbaan ini. Penganjurannya sangat baik, laluan selamat dan penonton juga luar biasa. Mungkin satu hari nanti saya akan datang semula, tapi sebagai pelancong,” katanya berseloroh.

– Harian Metro