ISKANDAR PUTERI: Pelumba Unibet Tietema Rockets, Zeb Kyffin membuat kejutan apabila memenangi Peringkat 7 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) dari Melaka ke Medini Iskandar Puteri, Johor hari ini.

Ia merupakan kemenangan pertama dalam karier profesional pelumba kelahiran London berusia 27 tahun itu sejak bersama Unibet pada 2023, sekaligus berharap dapat meneruskan kariernya bersama kelab ProTeam Perancis itu atau membuka mata pasukan lain.

Medini turut menyaksikan kegembiraan buat peminat tempatan apabila pelumba kelahiran Johor yang menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli menduduki tempat kedua, sekali gus menjadi pelumba tempatan ketiga menaiki podium peringkat dalam sejarah 29 tahun penganjuran PLTdL.

Nur Aiman yang turut menerima anugerah Pelumba Kombatif hasil usaha kerasnya berada dalam kelompok tujuh pelumba yang membuat pemecahan awal sebelum berkayuh secara solo sejauh lebih 20km, hanya 2 saat di belakang Kyffin dan 8s di depan peloton yang diketuai pelumba Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn.

Selain dua senario yang menggembirakan Kyffin dan Nur Aiman itu itu, Peringkat 7 turut diwarnai insiden kemalangan pelumba legenda Uno-X Mobility, Alexander Kristoff bersama rakan sepasukan yang juga pendahulu kutipan mata Raja Pecut, Erland Blikra, hingga memaksa pelumba 38 tahun itu gagal meneruskan kayuhan.

Kyffin melengkapkan kayuhan jarak paling panjang 214.9km dalam edisi ke-29 PLTdL25 ini, dengan masa 4 jam 37 minit 39 saat, atau purata kelajuan 46.4kmj.

Tidak ada perubahan besar berlaku dengan semua pemegang jersi masih mengekalkan jersi masing-masing walaupun berkayuh di bawah cuaca panas terik sepanjang menempuh jarak perlumbaan terpanjang bagi edisi kali ini.

Malah Kyffin yang turut agresif dalam beberapa peringkat lalu, membuat percaturan terbaik hari ini apabila meloloskan diri dari kelompok peloton untuk mengejar Nur Aiman di depan.

“Mengagumkan. Tiada perancangan awal sebelum bermula dan saya hanya berada di dalam peloton. Tetapi pada 15km terakhir saya mengambil kesempatan meloloskan diri, dan dibiarkan peloton yang diketuai pasukan Tudor dan Uno-X.

“Kemudian ternampak seorang pelumba (Nur Aiman) yang semakin perlahan di depan. Saya bukanlah pakar pecut tetapi saya terus mengejar dan dapat memintasnya,” kata Kyffin yang terbaring di atas rumput, keletihan dan seolah-olah tidak percaya dengan kemenangannya itu.

Sementara itu, Nur Aiman, anak kelahiran Muar yang memasang sasaran pada Peringkat 7 ini, berkata dia nekad untuk menyertai kumpulan pemecahan seramai tujuh pelumba sebaik melepasi zon pecutan pertama di Sungai Rambai pada km26.

Selain turut menguasai zon pecutan kedua di Semerah (km74.3), Nur Aiman bertahan di dalam kumpulan kecil itu dan menyimpan tenaga untuk cubaan nekadnya berkayuh membuat pemecahan solo pada baki 20km terakhir selepas zon pecutan ketiga di Pontian (km166.8) sambil seorang demi seorang pelumba kumpulan depan itu mengalah dan ditangkap peloton.

“Saya memang meletakkan sasaran untuk melakukan satu kejutan di Peringkat 7 ini kerana ini negeri kelahiran saya. Saya cuba bertahan hingga ke garisan penamat tetapi gagal. Saya sudah terlalu letih ketika itu.

“Walaupun tempat kedua, saya tetap berbangga kerana dapat berdiri di podium,” kata juara kebangsaan berganda lebuh raya dan ujian masa individu (ITT) berusia 26 tahun itu, yang tampil dengan aksi agresif dengan gemar membuat pemecahan secara solo sepanjang edisi PLTdL25 ini, sekaligus mengingatkan peminat tempatan kepada kelibat bekas pelumba kebangsaan, Loh Sea Keong.

Empat penyarung jersi – jersi hijau pendahulu tajaan PETRONAS yang disarung Joris Delbove (TotalEnergies); jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disarung Erland Blikra (Uno-X Mobility), jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2 milik Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) dan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda milik Nicolya Vinokourov (XDS-Astana) kekal dipertahan mereka yang berkayuh secara selamat dan menamatkan perlumbaan di dalam kelompok besar.

Berbeza pada peringkat keenam yang dilepaskan di bawah cuaca hujan, 109 pelumba yang bermula untuk Peringkat 7 di Jalan Hang Tuah, Bandaraya Melaka Bersejarah itu menempuh cuaca panas terik sepanjang kayuhan, tetapi tidak menghalang beberapa cubaan pelumba untuk membuat pemecahan awal tetapi dapat ditangkap.

Delbove, yang kini mengumpul keseluruhan masa 23 jam 27 minit 18 saat, tetap diekori 6 saat oleh 3 pencabar terdekat Yannis Voisard (Tudor), Anders Halland Johannessen (Uno-X) dan Adrien Maire (Unibet) – menjangkakan asakan lebih keras pada Peringkat 8 dan terakhir esok.

“Jarak hari ini lebih jauh dan lebih sukar. Namun saya tetap bertahan tetapi menjangka esok akan lebih sukar serta rumit dan saya perlu bertindak bijak di zon-zon yang memberikan masa bonus,” kata pelumba 25 tahun itu yang menyarung jersi hijau sejak memenangi Peringkat 5 di Bukit Fraser.

Situasi yang sama dikongsi Vinokourov yang meramalkan perlumbaan akan lebih sengit dan kelam kabut kerana Peringkat 8 esok yang menghidangkan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.

“Sukar diramal dan pasti banyak cubaan pemecahan kecil seperti setiap hari, terutama di zon pendakian. Tetapi saya harus yakin kerana tidak mustahil juga bagi saya untuk mengejar jersi hijau sambil mempertahankan jersi putih ini,” kata anak legenda Alexander Vinokourov berusia 23 tahun, yang menikmati prestasi terbaik sepanjang 2025 ini.

Bagi Blikra, agak malang kerana Peringkat 7 itu menyaksikan kapten pasukan Kristoff terpaksa terkeluar daripada saingan disebabkan kesilapan ketika cuba menyimpan makanan di poket belakangnya.

“Dia hilang kawalan di depan dan saya gagal mengelak lalu terlanggarnya. Nampak kecederaannya agak teruk tetapi saya dapat meneruskan kayuhan. Sasaran kami hari ini ialah membantu rakan sepasukan (Voisard) bagi GC,” katanya yang menduduki tempat keempat peringkat itu, dan mengumpul 55 mata bagi klasifikasi Raja Pecut, hanya 4 mata di depan pemenang dua peringkat PLTdL25, Arvid de Kleijn.

Peringkat 8 dan terakhir dalam edisi ke-29 PLTdL25 ini diteruskan esok dari Dataran Ledang, Tangkak dan berakhir di hadapan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) sejauh 180.2km, dengan zon pecutan menanti di Alor Gajah (km39.9); Seremban (km98.5) dan Semenyih (km131.2) serta tiga zon pendakian Kategori 3 di Bukit Mantin (km103.5) dan dua pendakian Kategori 2 di Bukit Hantu (km153.4) dan Ampang (km165.9).

PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI melewati semua 12 negeri di Semenanjung membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,224.2km.

Ia dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).