PADANG BESAR: Bekas pelumba kebangsaan, Musairi Musa mengingatkan pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan mencabar dari Gerik ke Pasir Puteh pada peringkat ketiga esok.

Katanya, pendakian ke Banjaran Titiwangsa dari arah Gerik dianggap lebih sukar berbanding arah bertentangan seperti 2023 kerana kecerunannya lebih ‘tegak’ dan mampu memisahkan peloton dengan cepat.

“Gerik ini bahaya sikit, kena betul hati-hati. Kalau ada pelumba yang kena tinggal masa mendaki, memang susah nak kembali ke depan sebab lepas tu laluan rata hingga Pasir Puteh. Ia akan bergantung sepenuhnya kepada kerja berpasukan di depan atau belakang,” katanya.

Musairi menambah, jika ada kumpulan pendahulu berjaya melepasi pendakian itu, peluang mereka untuk mengekalkan kelebihan cukup tinggi kerana kelajuan menuruni Jeli hingga Tanah Merah dan Macang boleh mencecah 40 hingga 50 kilometer sejam.

“Kalau pasukan besar seperti XDS Astana yang dominasi di depan, mereka boleh kawal perlumbaan. Pendaki mereka berpotensi menang kerana tak perlu tunggu pakar pecut. Kalau jurang dah besar, kumpulan belakang memang susah nak kejar,” jelasnya.

Beliau percaya peringkat ketiga ini bakal menjadi ‘pemecah peloton’ dan penentu awal hala tuju perebutan jersi utama dalam edisi kali ini.

Laluan berkenaan sejauh 198.2 kilometer (km) dari Gerik ke Pasir Puteh menampilkan tiga zon pendakian awal yang cukup mencabar iaitu kategori 3 di Gerik (18.1km), kategori 2 di Sri Banding (26.0km) serta kategori 1 di Puncak Titiwangsa (65.9km).

Pendakian ke Puncak Titiwangsa dijangka menjadi titik pemisah peloton dengan pelumba pakar bukit berpeluang melakukan serangan, sekali gus membuka ruang kepada kumpulan pendahulu (breakaway) menjarakkan diri.

Selepas menuruni Jeli, laluan menuju ke Pasir Puteh lebih rata dengan tiga zon pecutan iaitu di Jeli (117.3km), Bukit Bunga (134.1km) dan Machang (179.1km).

– Harian Metro