KUALA LUMPUR: Beberapa laluan di lapan daerah di Selangor akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Khamis ini, sempena tiga peringkat perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang merentasi negeri itu.

Perlumbaan kali ini meliputi jarak keseluruhan sejauh 162 kilometer yang melalui kawasan Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kajang, Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata langkah penutupan itu dilaksanakan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas dan memastikan keselamatan pada perlumbaan itu bermula Khamis hingga Ahad ini.

“Penutupan jalan dan lencongan trafik dibuat mengikut peringkat perlumbaan serta lokasi laluan yang dilalui.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mengelak daripada menggunakan laluan yang dinyatakan bagi mengelakkan kesulitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shazeli berkata, penutupan laluan bermula dengan peringkat ke-5 di Hulu Selangor yang membabitkan laluan Jalan Gap menuju Bukit Fraser dan Fraser’s Hill bermula jam 1.49 tengah hari Khamis ini.

“Keesokannya, peringkat ke-6 bermula jam 9 pagi Jumaat dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam melalui Persiaran Sultan, Sri Andalas, Sijangkang, Telok Panglima Garang, Jenjarom, Sungai Manggis dan Telok Datok.

“Seterusnya ke Banting, Kanchong Darat, Morib, Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Sungai Pelek dan Pekan Sepang sebelum menuju ke Port Dickson,” katanya.

Shazeli berkata, penutupan jalan diteruskan pada peringkat ke-8 bermula jam 2.55 petang Ahad, melalui laluan dari Beranang ke Semenyih, Jalan Sungai Lalang, Sungai Tekala, Jalan Hulu Langat, Jalan Ampang sehingga ke KLCC, meliputi kawasan Kajang dan Ampang Jaya.

Katanya, seramai 392 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 235 anggota pasukan sahabat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) ditugaskan bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang acara berlangsung.

– Berita Harian