KUALA LUMPUR: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah apabila menerima penilaian ‘all green’ daripada pihak teknikal, komisar dan pengarah perlumbaan.

Kejayaan itu membuktikan Malaysia terus gah menganjurkan perlumbaan bertaraf antarabangsa tanpa sebarang kelemahan ketara sepanjang edisi kali ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai masa depan status penganjuran LTdL selepas mandat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berakhir tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, keputusan mengenai hak penganjuran bagi edisi akan datang akan ditentukan oleh Kabinet selepas laporan penuh kejohanan dibentangkan.

“Mandat yang diberikan Kabinet adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025.

“Selepas ini, kita akan bawa semula laporan kepada Kabinet untuk menentukan mandat seterusnya,” katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Jefri, lesen penganjuran daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) turut diperbaharui setiap tiga tahun dan Malaysia mempunyai masa sehingga Mac depan untuk mengemukakan permohonan baharu.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang bakal dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan LTdL selepas ini sama ada MSN, KBS atau penganjur luar, tidak akan berdepan masalah besar kerana pelan induk (blueprint) perlumbaan sudah lengkap disediakan.

“Kita sedia berkongsi sepenuhnya manual dan ‘template’ penganjuran yang dibangunkan sepanjang tiga tahun ini.

“Manual dan panduan penganjuran ini kita akan serahkan kepada mana-mana pihak berkepentingan yang berminat untuk meneruskan LTdL pada masa depan. Tiada masalah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak UCI memberi maklum balas positif dan menyifatkan LTdL 2025 antara penganjuran terbaik pernah dilakukan di Malaysia serta boleh dijadikan contoh kepada negara lain.

LTdL 2025 yang berakhir semalam dimenangi pelumba TotalEnergies (TEN), Joris Delbove yang meraih jersi hijau selaku juara keseluruhan.

Manakala jersi jingga selaku Raja Pecut dimenangi pelumba Uno-X, Erlend Blikra dan pelumba Team Picnic PostNL (TPP), Patrick Eddy muncul Raja Bukit untuk memenangi jersi polka dot.

Jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dimenangi pelumba XDS Astana (XAT), Nicolya Vinakurov.

– Harian Metro