Kuala Lumpur: Pasukan berstatus WorldTeam dari Perancis, Cofidis menarik diri daripada menyertai Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dan tempatnya akan diisi pasukan ProTeam dari Sepanyol, Equipo Kern Pharma.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL, Emir Abdul Jalal, pihaknya menerima perkara itu pada Khamis lalu dan terus bertindak pantas untuk mencari penganti yang sesuai bagi memastikan jelajah edisi ke-29 yang akan bermula 28 September hingga 5 Oktober depan berjalan lancar.
“Walaupun sedikit terkilan kerana kita kekurangan sebuah pasukan berstatus WorldTeam kali ini, kita tetap yakin kemeriahan persaingan LTdL 2025 tidak terjejas kerana Kern Pharma juga adalah sebuah pasukan yang hebat.
“Disebabkan kesuntukan masa, kita tidak berkesempatan untuk melobi pasukan WorldTeam lain sebagai pengganti dan Kern Pharma yang berada dalam senarai empat pasukan yang terpaksa diketepikan sebelum ini, memberi respon pantas dan menyatakan kesediaan mereka untuk menyertai PLTdL25,” katanya.
Sebagai rekod, Equipo Kern Pharma membuat penampilan pertama dalam LTdL 2023 dengan dua pelumbanya Pablo Castillo Zapater menduduki tangga ketiga keseluruhan, 58 saat di belakang pemenang jersi hijau individu keseluruhan Simon Carr (EF Education) manakala Jon Agirre Egana di tangga kelapan.
Pasukan itu juga menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam senarai Pasukan Terbaik di bawah EF Education dan Euskaltel-Euskadi.
Namun, Kern Pharma tampil lebih bertenaga pada tahun lalu apabila menjuarai kategori Pasukan Terbaik, mengatasi 1 minit 39 saat di depan Astana.
Malah, tiga pelumbanya dalam kelompok 10 teratas dengan Unai Iribar di tangga ketiga individu keseluruhan, diikuti Ibon Ruiz (ke-7) dan Jorge Gutierrez (ke-8).
“Buat masa ini, kita belum mendapat senarai enam pelumba yang akan dihantar ke LTdL 2025 ini tetapi daripada 22 orang pelumba pasukan itu, ada terselit juara LTdL 2022 iaitu Ivan Sosa.
“Pasti menarik sekiranya Kern Pharma turut meletakkan nama bekas pelumba Movistar dari Colombia ini. Kami yakin, selepas dua tahun berturut-turut berpengalaman merasai liku-liku perlumbaan PLTdL, Kern Pharma akan menghantar barisan yang kuat mereka, lebih-lebih lagi mereka tidak tersenarai dalam pasukan wildcard ke Vuelta a Espana tahun ini,” kata Emir.
Tanpa Cofidis, dua pasukan WorldTeam yang akan bersaing adalah XDS Astana dan Team Picnic PostNL manakala Kern Pharma menyertai lapan pasukan ProTeam lain yang sudah mengesahkan penyertaan iaitu VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Team Polti VisitMalta, Solution Tech Vini Fantini, Burgos Burpellet BH, Unibet Tietema Rockets, Total Energies, Tudor Pro Cycling dan Uno-X Mobility.
Edisi ke-29 LTdL pada tahun ini akan menyusuri 12 negeri di Semenanjung Malaysia selama 8 hari, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer, bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di KLCC, Kuala Lumpur.