LANGKAWI: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sekali lagi mencuri tumpuan sebagai medan persaingan berprestij apabila barisan pelumba elit dunia tampil memberi cabaran, termasuk juara perlumbaan klasik, pemenang peringkat Grand Tour serta pelumba tempatan yang kian menyerlah.

Penyandang Jersi Jingga selaku Raja Pecut, Matteo Malucelli yang menghadiri sidang media rasmi perlumbaan edisi ke-29 hari ini mengakui menempuh pelbagai halangan pada musim lalu namun LTdL berjaya ‘menyelamatkan’ kariernya.

Pada penampilan lalu, Malucelli menyertai perlumbaan tanpa kontrak atau masa depan terjamin namun selepas memenangi peringkat di LTdL, dia berjaya menambat perhatian pasukan WorldTeam, XDS Astana Team untuk musim ini.

“Setahun lalu saya ke sini tanpa kontrak, tiada masa depan. Tetapi selepas menang peringkat di LTdL, saya berjaya raih 10 kemenangan musim itu (2024) dan akhirnya mendapat tempat dalam pasukan WorldTeam (XDS Astana Team).

“Tahun ini saya kembali dengan skuad lebih kuat, dan sasaran tetap sama, untuk menang peringkat,” kata Malucelli dalam sidang media rasmi LTdL 2025, hari ini.

Pada musim lalu, pelumba berusia 31 tahun dari Itali itu memenangi tiga peringkat perlumbaan iaitu di Peringkat 1 dari Arau ke Butterworth; Peringkat 7 dari Miri ke Bintulu dan Peringkat 8 di Bintulu.

Dalam pada itu, pelumba pasukan Uno-X Mobility, Alexander Kristoff memilih untuk mengakhiri kariernya di perlumbaan LTdL 2025.

“Ini kali pertama saya di Malaysia, mungkin juga kali terakhir saya berlumba. Saya hanya perlukan dua kemenangan lagi untuk melengkapkan 100 kemenangan profesional.

“Laluan LTdL jelas mesra pelumba pecut, jadi saya datang untuk cuba mencapainya,” kata pemenang Milan–San Remo dan Flanders itu.

Sementara itu, pelumba Jepun, Yukiya Arashiro, yang memulakan karier profesionalnya di LTdL 2007 menganggap perlumbaan LTdL sebagai simbol penting dalam dunia berbasikal Asia.

“LTdL adalah ‘Grand Tour Asia’. Saya masih ingat 18 tahun lalu hadir sebagai pelumba pasukan benua (Nippo Corporation), dan kini saya kembali bersama pasukan Eropah (Team Solution Tech – Vini Fantini). Malaysia sentiasa dekat di hati saya,” katanya.

– Berita Harian