KUALA LUMPUR: Le Tour de Langkawi (LTdL) yang mula dianjurkan pada 1996 sudah mempunyai jenama yang kukuh dan namanya tidak perlu diubah hanya disebabkan pulau ikonik, Langkawi tidak termasuk dalam laluan jelajah berprestij itu tahun ini.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill yang secara peribadi tidak bersetuju dengan sebarang tindakan untuk mengubah nama LTdL.

Katanya, tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan perlumbaan berprestij itu perlu bermula dari ‘kosong’ semula.

“Untuk penjenamaan LTdL ke nama lain, saya tidak berapa setuju kerana ia sudah dikenali di seluruh dunia. Semua negara, pasukan mengenali LTdL. Kalau tukar nama atau penjenamaan semula, kamu bermula dari kosong semula.

“Jadi saya fikir, isu menukar nama tidak akan timbul dan kita di PKBM akan sentiasa menyokong nama LTdL dikekalkan,” kata Amarjit kepada media selepas sidang media pengenalan penaja utama, Tourism Malaysia yang akan menaja jersi Raja Bukit bagi edisi kali ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mencadangkan di Parlimen supaya LTdL ditukarkan kepada Le Tour de Malaysia atau Le Tour de Madani selepas pulau lagenda itu tidak menjadi laluan perlumbaan bagi edisi kali ini.

“Ini ura-ura dibuat oleh pelbagai pihak, di Parlimen pun ada bercakap dan sebagainya tapi itu politik. Kalau dilihat daripada acara itu sendiri (LTdL), ia sudah mempunyai jenama yang kuat dan kita perlu kekalkan.

“Sama seperti Tour de France, kadang-kadang buat di lokasi lain… jadi apa yang penting adalah jenama itu sendiri,” kata Amarjit.

Dalam majlis hari ini, penganjur LTdL 2023, Majlis Sukan Negara (MSN), menerima satu lagi tajaan iaitu menerusi Tourism Malaysia yang akan menaja jersi Raja Bukit yang akan bermula di Kerteh, Terengganu bermula 23 September ini.

“KBS dan MSN amat berterima kasih dengan Tourism Malaysia, yang bukan sahaja tampil dengan tajaan RM1 juta tetapi juga pelbagai program promosi seperti persembahan tradisional di semua venue pelepasan, jemputan pempengaruh dari luar negara dan pelbagai promosi dalam dan luar negara bagi memastikan LTdL dapat dianjurkan dengan lebih meriah dan sempurna,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

– Berita Harian