LANGKAWI: Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli mencuri tumpuan apabila muncul juara peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menewaskan pencabar lain dalam penamat beramai-ramai mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 96.7 kilometer (km).

Dia yang juga Raja Pecut tahun lalu menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat tatkala diasak Erlend Blikra dari Uno X Mobility dan wakil Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn dengan catatan masa 2 jam 22 saat.

Kejayaan pelumba Itali berusia 31 tahun itu membolehkannya menyarung dua jersi pada hari pertama perlumbaan edisi ke-29 itu hijau selaku pendahulu keseluruhan dan juga jingga (Raja Pecut) selepas mengumpul 15 mata.

“Saya dapati cuaca hari ini memang terbaik dan tidak melakukan kesilapan seperti tahun-tahun sebelum ini. Saya mula melakukan henjutan agak lambat untuk menuju ke garisan penamat.

Berada di tangga kedua jersi jingga ialah Blikra dengan 12 mata diikuti De Kleijn (9) yang turut dikenali dengan nama samaran ”Little Gorilla.

Sementara itu, Ben Carman dari St George Continental Cycling Team mengungguli jersi polka dot selaku Raja Bukit selepas mengumpul dua mata, manakala pelumba terbaik Malaysia edisi lalu, Syawal Mazlin dari Malaysia Pro Cycling (MPC) di tangga kedua dengan satu mata.

Seorang lagi wakil negara, Aiman Rosli dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia mengetepikan George Matsui dari Aisan Racing Team, manakala seorang pelumba TSG, Harrif Saleh di tangga ketiga.

Harrif yang dikenali sebagai ‘Mamat’ turut menjadi pelumba terbaik ASEAN kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-47, di mana Malaysia menjadi tuan rumah.

Dia yang beraksi buat kali ke-16 di LTdL berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan hari ini.

Perlumbaan berstatus 2.Pro ini akan bersambung di peringkat kedua dari Padang Besar ke Kepala Batas esok sejauh 166.1km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Jitra, Pendang dan Sungai Petani.

– Harian Metro