PASIR PUTEH: XDS-Astana, Matteo Malucelli mengutip kemenangan peringkat kedua pada jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25), selepas mengecewakan pelumba Uno-X Mobility, Alexander Kristoff di akhir Peringkat 3 dari Gerik ke Pasir Puteh, petang ini.

Malucelli yang mengetuai kelompok besar pelumba mencatat masa 4 jam 28 minit 04 saat, menang pada Peringkat 1 di Pulau Langkawi tetapi tewas kepada pelumba Tudor Cycling Team, Arvid de Kleijn di penamat Peringkat 2 di Kepala Batas, semalam.

Lebih cemerlang, kejayaan hari ini – kelima dalam PLTdL selepas tiga kemenangan peringkat tahun lalu – terus menyaksikan pelumba Itali itu mengukuhkan penguasaannya dalam klasifikasi individu keseluruhan untuk terus menyarung jersi hijau tajaan PETRONAS dengan kelebihan 16 saat di hadapan dua pencabar terdekat Erland Blikra (Uno-X) dan rakan sepasukan Astana, Aaron Gate.

Kemenangan itu juga mengukuhkan kedudukan Malucelli dalam perebutan jersi oren Raja Pecut, tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada 42 mata, ketika pencabar terkuatnya, De Kleijn tercicir jauh ketika menghadapi tiga zon pendakian awal dalam saingan peringkat 3 sejauh 198.2km itu.

Sementara itu, pelumba Picnic PostNL, Patrick Eddy yang berada di dalam kelompok depan berjaya meloloskan diri untuk menguasai zon pendakian Kategori 3 (Gerik) dan Kategori 1 (Puncak Titiwangsa) dan tempat ketiga pendakian kedua (kategori 2) di Sri Banding.

Pelumba kelahiran Australia yang menyertai Picnic pada tahun lalu itu mengumpul 15 mata, terikat dengan pelumba Burgos Burpellet-BH, Jambaljamts Sainbayar, tetapi dia disarungkan jersi polka dot tajaan BubblesO2 kerana terlebih dahulu melintasi puncak pendakian Kategori 1 di Puncak Titiwangsa.

Jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda juga beralih tangan kepada Vadim Pronskiy, selepas rakan sepasukannya yang menyarung jersi itu dalam dua peringkat lalu, Muhammad Nur Aiman Rosli, sekadar berada di kelompok kedua.

Eddy, Sainbayar yang turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Kombatif serta Vadim, Daniel Whitehouse (St George Continental) dan Cedric Bakke Christophersen (Unibet Tietema
Rockets) adalah pelumba kumpulan pertama yang berada kira-kira 3 minit di depan kelompok besar, tetapi dapat ditangkap ketika menuruni bukit oleh peloton yang menyedari De Kleijn tiada di dalam kelompok besar itu.

Peloton yang diterajui Uno-X, Kern Pharma dan Astana terus melebarkan jarak dan tiba hampir 16 minit di depan kelompok kedua.

Dalam kegembiraannya meraih kemenangan peringkat itu, Malucelli mengakui sedikit sedih kerana terpaksa menghampakan Kristoff, pelumba dianggap legenda, yang berusaha menambah koleksi kemenangan peribadi sebelum bersara penghujung tahun ini.

“Perasaan saya bercampur-baur. Saya tidak akan sedih jika tewas kepada Kristoff. Tapi itulah perlumbaan berbasikal. Kita hanya mahu melakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan dan semua rakan sepasukan bekerja keras ketika di zon pendakian dan laluan landai untuk mencari jarak yang jauh di depan.

“Saya ketinggalan agak jauh di belakang ketika menghampiri garisan penamat kerana rakan sepasukan sudah keletihan dan hanya memecut sebaik mungkin,” kata pelumba berusia 31 tahun itu yang hanya tersenyum selepas disahkan panel komisar menerusi photo-finish.

Sementara itu, Eddy gembira dengan jersi polka dot Raja Bukit dan menganggap prestasinya dalam keadaan baik selepas berkayuh di Vuelta a Espana, beberapa minggu lalu.

“Sukar untuk dijelaskan kerana ini bukanlah sasaran saya. Cuma saya berusaha mengejar pelumba di depan dan kami dapat menguasai tiga zon pendakian awal, dan kemudian hanya santai di dalam kelompok besar ketika menuruni bukit dan laluan landai.

“Ini (jersi polka dot) satu motivasi baru bagi saya dan pasukan selepas hanya disenaraikan pada saat-saat akhir bersama dua pelumba muda di dalam pasukan kali ini,” katanya merujuk kepada jersi hijau keseluruhan yang dimenangi pelumba Picnic PostNL tahun lalu, Max Poole.

Vadim pula mengakui jersi putih bukanlah sesuatu yang asing kerana dia pernah memenanginya pada 2019 dan 2023 ketika bersama pasukan elit WorldTeam, Astana-Qazakhstan.

“Saya semakin selesa dan gembira dengan TSG dan menganggap Malaysia rumah kedua saya. Hari ini agak sukar kerana ketika saya cuba meloloskan diri di pendakian pertama, beberapa pelumba agak laju mengejar. Saya gembira dan berharap dapat mengekalkan jersi ini pada pendakian lebih sukar nanti (Peringkat 5 Temerloh-Bukit Fraser),” katanya.

Peminat tempatan juga bersorak gembira apabila Tsen Ren Bao yang juga anak kepada bekas pelumba kebangsaan, Tsen Seong Hoong dan kini mewakili St George, menamatkan kayuhan di tempat ke-28 pada peringkat itu untuk muncul pelumba terbaik ASEAN.

Hanya 118 pelumba menamatkan kayuhan Peringkat 3 itu selepas 3 pelumba tidak muncul di garis mula (DNS) manakala 5 yang lain gagal menamatkan kayuhan (DNF).

PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Asia UCI diteruskan dengan Peringkat 4 dari Kuala Terengganu ke Kemaman, sejauh 140.8km, esok, dengan 3 zon pecutan di Marang (km12.3); Dungun (km66.7) dan Paka (km87.4) dan satu zon pendakian Kategori 4 di Kijal (km126.2).

Jelajah edisi ke-29 PLTdL25 ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).