LANGKAWI: Matteo Malucelli membalas kepercayaan pasukan barunya, XDS-Astana apabila menghadiahkan kemenangan pada Peringkat 1 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) di Pekan Kuah, pagi ini.
Pada penamat kayuhan sejauh 96.7km yang bermula di lokasi permulaan yang sama dan berakhir dengan henjutan beramai-ramai ke garisan penamat, Raja Pecut PLTdL24 yang menyertai Astana pada awal tahun ini selepas tidak melanjutkan kontrak dengan JCL UKYO, mengekang asakan pelumba tempat kedua yang juga Raja Pecut PLTdL22, Erland Blikra dari Uno-X Mobility dan Raja Pecut PLTdL23, Arvid Kleijn (Tudor Racing Team).
Kelompok besar yang menamatkan kayuhan dengan masa 2jam 22 saat, memberikan bonus 10 saat kepada Malucelli untuk turut menyarung jersi hijau pendahulu keseluruhan tajaan PETRONAS, dan 15 mata bagi mengetuai senarai kutipan mata Raja Pecut dan jersi oren tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam pada itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Rosli turut mengorak langkah dalam senarai individu keseluruhan (GC) apabila meraih bonus 7 saat selepas menguasai dua zon pecutan di Harbour Park dan Padang Matsirat, selain tempat ketiga di zon pecutan kedua di Bayas untuk disarungkan jersi putih tajaan Rakan Muda sebagai Pelumba Terbaik Asia di akhir peringkat itu.
Pelumba St George Continental, Ben Carman yang meloloskan diri ketika menghampiri zon pendakian tunggal kategori 4 di Bukit Malut pada 16km sebelum ke penamat, menyarung jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2.
Bagi Malucelli, yang memenangi Peringkat 2, 7 dan 8 PLTdL24, kemenangan di Peringkat 1 PLTdL25 ini adalah sesuatu yang menggembirakan dan memberi motivasi besar untuk menempuh baki 7 peringkat seterusnya.
“Saya selesa sepanjang kayuhan dan apabila menghampiri ke garisan penamat, rakan sepasukan (Anton) Kuzmin menarik saya ke depan tetapi saya tetap memerhati (Alexander) Kristoff (Uno-X Mobility). Tetapi apabila Kristoff semakin perlahan dan Blikra mula memecut, saya turut memulakan henjutan pada 300 meter terakhir dan akhirnya menang.
“Berada dalam pasukan WorldTeam memang memberi lebih keyakinan, lebih-lebih lagi saya berasa selesa dan tenang di sepanjang perlumbaan.
“Menang peringkat pertama dan menyarung jersi pendahulu memberikan saya keyakinan tetapi saya sedar tanggungjawab semakin besar. Namun kami akan tetap fokus dan memberi tumpuan hari demi hari kerana ada banyak lagi peringkat selepas ini,” kata pelumba 31 tahun yang turut menang peringkat di Tour of Presidential Turkiye dan Tour of Hainan tahun ini.
Sementara itu, Nur Aiman yang juga juara kebangsaan lebuh raya dan ujian masa individu tahun ini, membuktikan dia lebih bersedia pada penampilan kali ketiga dalam PLTdL kali ini.
“Jurulatih memberitahu supaya cuba membuat breakaway dan itu yang saya lakukan. Saya gembira dengan jersi putih (Pelumba Terbaik Asia) dan kedudukan di tangga kedua GC.
“Saya ada keyakinan dan berharap dapat melakukan sesuatu yang lebih besar lagi untuk pasukan pada Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) nanti,” katanya merujuk kepada tiga zon pendakian awal sebelum laluan landai panjang sebaik melintasi Banjaran Titiwangsa.
Walaupun dilepaskan di bawah cuaca hujan dengan keseluruhan 129 pelumba, tempo kayuhan bertukar agresif apabila pelumba Unibet-Tietema Rockets, Aiden Maire memulakan pemecahan selepas jarak 30km dan dia disertai Nur Aiman, George Mitsui (Aisan Racing Team) dan Nate Hadden (St George) untuk membentuk kumpulan kecil pendahulu.
Kumpulan ini berada hanya 1 minit 50 saat di depan sebelum peloton yang digerakkan pasukan Astana, Tudor dan Uno-X mengejar dan dapat menangkap mereka sebaik melepasi zon pecutan ketiga.
Tindakan Carman yang meloloskan diri seketika membolehkan dia menguasai zon pendakian mudah Kategori 4 di Bukit Malut, sebelum dapat ditangkap. Walaupun ada cubaan satu atau dua pelumba untuk membuat pemecahan, skrip penamat Peringkat 1 itu tetap berakhir dengan pecutan beramai-ramai ke garisan penamat.
Seorang pelumba pasukan KSPO, Lee Hosan gagal menamatkan aksi peringkat pertama itu dan terkeluar dari saingan, lantas menyukarkan pasukan benua Korea Selatan itu yang hanya menyenaraikan lima pelumba kali ini.
Peringkat 2 PLTdL25 akan bermula di Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang dengan jarak 166.1km, pagi esok dan sekali lagi ia dijangka akan berakhir dengan henjutan beramai-ramai ke garisan penamat di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.
Tanpa sebarang zon pendakian, tiga zon pecutan di Jitra (Km54.0), Pendang (Km90) dan Sungai Petani (Km142.9) bakal menyaksikan saingan sengit dalam perebutan jersi hijau, jersi oren dan jersi putih.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang menyusuri semua negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,244.2km, disenaraikan pada status 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Asia UCI.
Ia dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).