KEMAMAN: Pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli terus mempamer kekuatannya apabila sekali lagi memastikan kemenangan pada Peringkat 4 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de
Langkawi 2025 (PLTdL25) dari Kuala Terengganu ke Kemaman, sejauh 140.8km hari ini.
Pada penghujung yang diramal sekali lagi berakhir dengan henjutan beramai-ramai, Malucelli yang menang Peringkat 1 dan 3 sebelum ini, melakar hatrik dan menyamai pencapaiannya pada aksi ketika bersama JCL UKYO tahun lalu.
Begitupun, dia berkata segala-galanya adalah hasil kerja keras dan taktikal yang efektif daripada rakan sepasukan untuk membawanya ke posisi yang tepat dan selesa ketika melakukan pecutan terakhir itu, menewaskan pelumba Polti VisitMalta, Manuel Penalver dan Erlend Blikra (Uno-X Mobility) dengan catatan masa 3 jam 17 minit 56 saat.
Kemenangan itu memberikan bonus 10 saat, perbezaan 22 saat di depan pencabar terdekat dan 26 saat di depan rakan sepasukan, Aaron Gate, mengumpul 13j 15 minit 45 saat dalam klasifikasi individu keseluruhan untuk terus menyarung jersi hijau tajaan PETRONAS.
Malah, dia turut melebarkan jurang bagi klasifikasi mata untuk jersi oren Raja Pecut tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan mengumpul 57 mata, 24 mata di depan pencabar terdekat Blikra.
Sementara itu, Patrick Eddy masih menyarung jersi polka dot Raja Bukit tajaan BubblesO2 dengan 15 mata, tanpa membiarkan pencabar terdekat dari Burgos-Burpellet BH, Jambaljamts Sainsbayar tidak mencuri mata di zon pendakian tunggal Kategori 4 di Kijal.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dari Kazakhstan, Vadim Pronskiy juga mengekalkan jersi putih tajaan Rakan Muda selaku Pelumba Terbaik Asia apabila berkayuh secara selamat dan berada di dalam kelompok besar peloton.
Dengan jarak pendek dan landai, Malucelli berkata, tugasnya mencari kemenangan peringkat untuk pasukan hebat seperti Astana menjadi lebih mudah.
“Ia satu perasaan yang mengkagumkan, seolah-olah ia meneruskan persembahan baik pada tahun lalu. Kemenangan pada dua peringkat sebelum ini menghilangkan tekanan
yang besar. Hari ini, saya masih bertenaga manakala rakan sepasukan melakukan tugas dengan baik. Saya membuat pecutan yang sempurna pada 200 meter terakhir.
“Tetapi untuk peringkat esok (pendakian Temerloh ke Bukit Fraser), saya akan cuba bertahan, sekurang-kurangnya jersi Raja Pecut,” kata pelumba Itali yang bersama
Astana sejak awal tahun 2025 itu.
Katanya, sepanjang perlumbaan, Astana tenang mengawal tempo kayuhan walaupun ada kumpulan kecil di depan dan hanya mula agresif pada beberapa kilometer terakhir sebelum dia dibantu Alexander Vinokurov dan Aaron Gate yang bijak mencari posisi terutama pada dua selekoh kanan menuju ke penamat.
Harapan peminat tempatan dan TSG yang pada awalnya tinggi apabila melihat Muhammad Nur Aiman Rosli berada dalam kumpulan tiga pelumba di depan yang membuat pemecahan awal, tidak kesampaian apabila juara kebangsaan itu yang menguasai dua zon pecutan di Marang dan Paka, ditangkap peloton yang diterajui Astana dan Uno-X, pada kira-kira 4km sebelum garisan penamat di Taman Bandar Cukai, Kemaman.
Dalam perlumbaan yang dilepaskan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Teregganu itu, pelumba bermula di bawah cuaca panas mencecah 31 darjah Celsius itu, dengan Nur Aiman, Vojtech Kminek (Burgos) dan Yauheni Sobal (Chengdu DYC) membuat pemecahan awal.
Namun, Kminek memutuskan untuk memperlahankan kayuhan dan menyertai peloton, manakala Aiman dan Sobal bergandingan sehingga ke Kijal, sebelum Sobal juga beralah dan
ketika Nur Aiman berkayuh solo, dia dengan mudah dihambat peloton.
“Belum ada rezeki, tetapi saya sudah mencuba sebaik mungkin hari ini. Saya akan terus mencuba pada peringkat-peringkat seterusnya,” kata Nur Aiman yang tetap
berbangga dengan anugerah Pelumba Paling Kombatif bagi peringkat keempat itu.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil muncul pelumba terbaik Asia dan ASEAN bagi peringkat itu apabila menduduki tempat ketujuh.
Namun, beberapa insiden kemalangan kecil turut berlaku di bahagian belakang peloton dan tiga pelumba gagal menamatkan kayuhan (DNF) dan terkeluar daripada saingan,
menjadikan hanya 115 pelumba akan memulakan Peringkat 5, esok.
Peringkat 5 sejauh 123.1km yang dianggap antara peringkat penentuan dalam PLTdL25 ini, akan bermula di Temerloh, membabitkan tiga zon pecutan iaitu di Mentakab, Bukit
Damar dan Mempaga, sebelum pelumba menempuh pendakian pertama Kategori 3 di Raub dan seterusnya pendakian penamat Kategori 1 ke garisan penamat di Menara Jam Bukit Fraser.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI bermula di Langkawi Ahad lalu, dan akan berakhir dengan Peringkat 8 dari
Tangkak ke hadapan Menara Berkembar PETRONAS, Ahad ini, membabitkan jarak keseluruhan 1,224.2km.
Ia dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).