KEMAMAN: Pelumba pasukan WorldTeam, Matteo Malucelli bagaikan sukar digugat pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila merangkul kemenangan ketiganya di Peringkat 4 bagi edisi ke-29 dari Kuala Terengganu ke Kemaman, hari ini.

Malucelli yang beraksi bersama XDS Astana sudah meraih kemenangan di Peringkat 3 dari Gerik ke Pasir Puteh semalam dan di Peringkat 1 (sekitar Langkawi) kini secara keseluruhan sudah merangkul enam kemenangan peringkat sepanjang penyertaannya di LTdL sejak tahun lalu.

Pelumba berusia 31 tahun menemui garisan penamat secara beramai-ramai di Kemaman dengan catatan tiga jam 17 minit dan 56 saat (s), mengatasi Manuel Penalver (Team Polti VisitMalta) dan Erlend Blikra (Uno-X Mobility) yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

“Ia luar biasa (menang tiga peringkat selepas empat perlumbaan),” kata Malucelli kepada media selepas perlumbaan sejauh 141.4 kilometer (km), hari ini.

“Banyak perkara yang berubah dari tahun lalu. Ini termasuk gaya berfikir saya kerana apabila kamu berada dalam pasukan besar, tiada siapa yang memberi tekanan kepada anda tetapi anda rasa kemenangan itu adalah normal untuk pasukan besar seperti Astana.

“OK, saya rasa baik, kayuhan saya bagus. Pasukan sudah melakukan tugas yang hebat untuk saya, percaya kepada saya dan saya merasakan kemenangan peringkat jelajah seperti ini sangat penting.”

Malucelli dalam pada itu juga masih kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan 13:15:45s untuk empat peringkat berturut-turut manakala Erlend Blikra (Uno-X Mobility) ketinggalan 0.22s di tangga kedua. Tempat ketiga dihuni pelumba XDS Astana Team, Aaron Gate.

Malah pelumba dari Itali itu turut masih kekal menyarung jersi jingga selaku Raja Pecut apabila kini sudah mengumpul 57 mata, 24 mata di hadapan pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra. Pelumba pasukan Team Polti VisitMalta, Manuel Panalver pula berada di kedudukan ketiga dengan 28 mata.

Jersi polka dot selaku Raja Bukit juga tiada perubahan apabila masih kekal disandang pelumba Team Picnic Postnl, Patrick Eddy yang berkongsi 15 mata bersama pelumba Burgos-Burpellet-BH), Jambaljamts Sainbayar.

Dalam pada itu, jersi putih selaku pelumba Terbaik Asia juga kekal disarung wakil Terengganu Cycling Team, Vadim Pronskiy yang mengumpul 13:16:18s. Pelumba Aisan Racing Team, George Matsui berada di kedudukan ketiga, 13:16:19s.

Perlumbaan Peringkat 5 esok dijadual berlangsung dari Temerloh ke Fraser’s Hill, membabitkan laluan sejauh 123.1km dengan merangkumi tiga zon pecutan di Mentakab, Bukit Damar dan Mempaga selain dua zon pendakian di Raub dan Fraser’s Hill.

– Berita Harian