KUALA LUMPUR: Dua pasukan Benua, Chengdu DYC Cycling Team dari China dan 7-Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina bakal tampil dengan strategi baharu pada edisi ke-29 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.

Chengdu DYC yang kali pertama mendapat jemputan ke LTdL tampil dengan hanya seorang pelumba tempatan, Li Chaoyi, manakala mempertaruhkan lima pelumba import dari Russia, Belarus dan Venezuela.

Ia satu pendekatan berbeza berbanding lazimnya pasukan China yang sebelum ini lebih banyak mempertaruhkan bakat tempatan seperti Hengxiang dan Li Ning Star.

Sementara itu, 7-Eleven Cliqq Roadbike yang sebelum ini menurunkan kesemua pelumba kelahiran Filipina turut melakukan perubahan dengan menyenaraikan dua pelumba Australia, Luke Burns dan Zachary Marriage serta seorang pelumba Perancis, Edouard Bonnefoix bagi memperkuatkan cabaran kali ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, pendekatan itu adalah usaha pasukan Benua untuk memberi saingan lebih bermakna kepada skuad elit WorldTeam dan ProTeam.

“Ramai sedar pasukan Benua yang rata-rata bersandarkan pelumba tempatan agak kurang menyengat menentang pasukan handalan Eropah. Contoh terbaik ialah JCL Team UKYO dari Jepun yang berjaya hasil gabungan tiga pelumba Itali,” katanya.

Barisan Chengdu DYC diketuai pakar pecut Russia, Petr Rikunov, 28, yang pernah mewakili Gazprom Rusvelo dan memenangi peringkat ketujuh Tour of Qinghai Lake tahun ini.

Turut bersama ialah rakan senegaranya Timofei Ivanov, pakar mendaki berusia 34 tahun, Andrei Stepanov, pelumba berpengalaman di Asia, Yeuhan Sobal dari Belarus, 44, serta bekas juara keseluruhan Vuelta Tachira, Roniel Campos dari Venezuela.

Campos, 32, yang kini mengetuai misi memburu jersi hijau keseluruhan tajaan Petronas dianggap taruhan terbaik pasukan itu selepas pernah merangkul gelaran juara Vuelta Tachira tiga tahun berturut-turut (2020-2022).

Bagi 7-Eleven Cliqq, Marriage yang berusia 21 tahun menjadi sandaran untuk buruan kemenangan peringkat selepas tampil konsisten musim ini termasuk menduduki tempat kedua Pelumba Muda Volta a Portugal.

Bonnefoix pula, 26, pernah berada di kedudukan keenam peringkat Tour of Britain manakala Burns, 27, dijangka menggalas cabaran keseluruhan dengan rekod cemerlang menjuarai Raja Bukit Tour Down Under 2024.

Tiga pelumba Filipina yang kekal dalam skuad kali ini ialah Rench Michael Bondoc, Joshua Pascual dan John Patrick Pagtalunan yang akan memainkan peranan sebagai domestique bagi membantu rakan sepasukan import di laluan mendatar dan pendakian.

LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries akan meliputi 12 negeri di Semenanjung membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer. Perlumbaan akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September sebelum menutup tirai di hadapan KLCC pada 5 Oktober depan.

– Harian Metro