LANGKAWI: Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk cabaran cuaca hujan menjelang saingan Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang membuka tirainya di Pulau Langkawi, Ahad ini.
Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit berkata, tahap persiapan pasukannya kali ini jauh lebih rapi hasil gabungan latihan intensif serta penyertaan dalam beberapa siri perlumbaan jelajah sebagai persiapan ke kejohanan berprestij itu.
“Persediaan kami bermula sejak dua bulan lalu. Selepas menjalani kem latihan pusat, pelumba turut menyertai beberapa siri perlumbaan jelajah dan baru saja pulang daripada aksi luar negara.
“Malah, kami mengadakan kem latihan khusus selama dua minggu di Grik. Jadi saya boleh katakan persediaan tahun ini cukup lengkap. Diharapkan segala usaha ini dapat diterjemahkan dengan keputusan yang positif,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pasukan di sekitar Langkawi, hari ini.
Mengulas ramalan cuaca hujan pada perlumbaan Ahad ini, Sayuti mengakui keadaan itu bakal menambah cabaran bukan hanya buat MPC, tetapi juga semua pasukan bertanding.
“Kalau benar hujan, perlumbaan akan jadi lebih menarik kerana ia membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan. Biasanya dalam cuaca hujan, akan ada isu mekanikal seperti tayar pancit dan keadaan jalan yang licin.
“Kami perlu bersedia dari segi teknikal termasuk pemilihan tayar. Kita tak mahu berlaku kekalutan jika berlaku sebarang insiden di pertengahan perlumbaan,” jelasnya.
Untuk edisi kali ini, MPC mempertaruhkan enam pelumba iaitu kapten berpengalaman, Muhammad Zawawi Azman; Muhammad Syawal Mazlin; Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil; Ahmad Syazrin Awang Ilah; Zulfikri Zulkifli dan pelumba muda berusia 21 tahun, Muhammad Faheem Razen Zaini.
Menurut Sayuti, Faheem dimasukkan ke dalam senarai akhir menggantikan Akmal Hakim Zakaria atas faktor kesesuaian fizikal dan taktikal.
“Pada asalnya, Akmal Hakim adalah dalam senarai utama. Namun selepas perbincangan terakhir, kami putuskan Faheem lebih sesuai, terutama dari segi bentuk badan yang lebih ideal untuk laluan pendakian.
“Kami yakin Faheem mampu berada dalam kelompok hadapan, khususnya ketika mendaki di Peringkat 3 nanti,” katanya.
– Berita Harian
