LANGKAWI: Pasukan benua negara, Malaysia Pro Cycling Team (MPC) lebih yakin pada penampilan kali kedua di PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) yang akan berlangsung pada 28 September hingga 5 Oktober ini.

Walaupun kurang menyertai perlumbaan antarabangsa sepanjang tahun ini, pasukan bimbingan Pengarah Sukan Sayuti Zahit dilihat ‘memanaskan badan’ dengan baik untuk memastikan anak-anak buahnya mencapai kemuncak prestasi apabila jelajah terunggul Asia selama lapan hari itu bermula, Ahad ini.

Pelumba MPC telah menjalani latihan di Gerik sebanyak dua kali selama dua minggu pada Julai dan Ogos lalu, selain berlumba di Tour of Entete di Nusa Tenggara Timur, Indonesia.

Berdasarkan senarai awal kepada Sekretariat PLTdL25, MPC meletakkan sandaran di bahu Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli bagi mengharungi cabaran pada edisi ke-29 PLTdL25 ini, tetapi tidak mustahil senarai berubah berdasarkan prestasi terkini.

“Walaupun kurang berlumba dalam perlumbaan jelajah UCI, kami cuba mencari perlumban di sekitar negara ASEAN seperti di Indonesia, Filipina dan China, selain meletakkan pelumba kami dalam dua kem latihan pusat di Gerik sebelum PLTdL25 ini.

“Selepas keputusan yang agak menghampakan tahun lalu, MPC memasang impian lebih realistik kali ini untuk cuba berdiri di podium, tidak kira di peringkat laluan landai, beralun atau mendaki kerana kombinasi pelumba kali ini mempunyai pendaki, pakar pecut dan all rounder,” kata Sayuti yang pernah mengangkat nama pasukan Sapura Cycling Team dalam PLTdL dan perlumbaan seluruh Asia pada 2019 dan 2020 dulu.

Ketika itu, Benjamin Dyball dan Danilo Celano masing-masing mengungguli GC PLTdL manakala Muhammad Nur Aiman Zariff yang kini bersama Terengganu Cycling Team (TSG) memenangi jersi Raja Bukit, selain Sapura berada di kedudukan teratas Pasukan Terbaik keseluruhan.

Selepas menempuh era sulit kerana Sapura tidak meneruskan tajaan, Sayuti menyambung tugas yang terhenti itu dengan membantu menubuhkan MPC yang beraksi dalam PLTdL24 lalu.

Muhammad Zawawi, 31; dan Muhammad Syawal, 20; menjadi taruhan MPC di laluan pendakian dan mengejar kedudukan dalam klasifikasi individu keseluruhan (GC) manakala empat rakan lain – Muhammad Izzat Hilmi, 29; dan Ahmad Syazrin, 27; diharap dapat mengintai peluang di penamat laluan landai, sambil Akmal Hakim, 20; dan Zulfikri, 24; yang menang Peringkat 4 Tour de Entete beberapa hari lalu, bertindak sebagai pelumba pembantu (domestique).

Kesemua pelumba merasai keperitan berlumba dalam PLTdL sebelum ini, sama ada bersama MPC atau skuad kebangsaan.

“Dengan persiapan lebih mantap dan tersusun walaupun kurang beraksi dalam perlumbaan besar antarabangsa tahun ini, saya berharap MPC dapat meninggalkan impak lebih besar tahun ini selepas kesukaran hilang khidmat dua pelumba selepas Peringkat 4 tahun lalu,” kata Sayuti lagi.

Edisi ke-29 PLTdL25 yang bermula di Pulau Langkawi pada 28 September ini dan berakhir di depan Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada 5 Oktober, akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung, dengan jarak keseluruhan 1,244.2km.

Perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.7 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (166.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (141.5km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (123.1km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.5km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.9km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.2km) pada 5 Oktober.

SENARAI PELUMBA MALAYSIA PRO CYCLING TEAM

  1. MUHAMMAD ZAWAWI AZMAN (MAS)
  2. MUHAMMAD FAHEEM RAZEN M. ZAIN (MAS)
  3. MUHAMMAD SYAWAL MAZLIN (MAS)
  4. MUHAMMAD IZZAT HILMI ABDUL HALIL (MAS)
  5. AHMAD SYAZRIN AWANG ILAH (MAS)
  6. ZULFIKRI ZULKIFLI (MAS)