ISKANDAR PUTERI: Penamat tempat kedua Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 menjadi pembakar semangat buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli untuk terus mencipta kejutan pada hari terakhir perlumbaan, esok.

Pelumba kelahiran Tangkak berusia 26 tahun itu menamatkan saingan sejauh 214.9 kilometer dari Melaka ke Medini dengan catatan 4 jam 37 minit 41 saat, hanya dua saat di belakang pemenang, Zeb Kyffin dari pasukan Unibet Tietema Rockets.

Menurut Aiman, kejayaan itu memberi motivasi tambahan menjelang perlumbaan penutup esok yang akan bermula di kampung halamannya sendiri.

“Saya gembira kerana dapat memulakan perlumbaan esok di kampung halaman sendiri. Harap semua datang dan beri sokongan kepada saya dan pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Kejayaan Aiman itu juga menamatkan kemarau podium buat pelumba tempatan sejak 2020, apabila rakan sepasukannya, Harrif Saleh pada ketika itu muncul juara Peringkat 7 dari Bagan ke Alor Setar.

Peringkat 8 yang juga kemuncak edisi ke-29 LTdL esok bakal menyaksikan pelumba menempuh laluan sejauh 180.2km dari Tangkak ke Kuala Lumpur.

Saingan peringkat ini merangkumi tiga zon pecutan iaitu di Alor Gajah, Seremban dan Semenyih serta tiga zon pendakian di Setul, Bukit Hantu dan Ampang Look Out Point.

“Saya akan cuba yang terbaik dan saya sangat teruja, lebih-lebih lagi kerana perlumbaan bermula di Johor. Terima kasih kepada semua yang terus menyokong saya dan pasukan,” kata Aiman yang membuat penampilan ketiganya dalam saingan berprestij ini.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang mewakili pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menamatkan saingan Peringkat 7 di kedudukan kesembilan.

Izzat yang sebelum ini cemerlang dengan penamat tempat keempat pada Peringkat 6 dari Shah Alam ke Port Dickson, mengakui laluan penamat hari ini agak mencabar.

“Syukur semuanya selamat dan tahniah kepada Aiman atas pencapaian membanggakan. Kilometer terakhir agak mencabar kerana ada selekoh tajam, tapi saya tetap cuba untuk berada dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.

– Berita Harian