KUALA LUMPUR: Selepas gelaran Raja Bukit pada edisi Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu terlepas dari genggaman, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff kini cuba mengintai semula peluang merampas status berkenaan.

LTdL bakal memulakan edisi ke-28 di Pulau Langkawi esok dan Nur Aiman sudah tentunya mahu memburu gelaran berkenaan biarpun sedar ia bukan satu tugas yang mudah memandangkan beberapa pelumba pilihan turut mencongak peluang yang sama.

“Sudah tentu saya ada menyimpan hasrat untuk kembali memegang status sebagai Raja Bukit pada perlumbaan LTdL kali ini selepas terlepas peluang mempertahankannya tahun lalu.

“Tetapi saya harus akui sasaran untuk memenangi gelaran Raja Bukit bukannya senang. Semua itu bergantung kepada strategi dan kondisi tubuh badan pada hari perlumbaan itu nanti,” kata Nur Aiman.

Nur Aiman mempunyai sejarah tersendiri di perlumbaan berprestij Asia itu dengan meraih gelaran Raja Bukit buat kali pertamanya pada 2020 sebelum mempertahannya pada saingan 2022.

Namun impiannya untuk melakar gelaran ketiga tidak kesampaian apabila dirampas pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud pada tahun lalu.

“Apapun saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap peringkat perlumbaan. Kita pun tahu kali ini tiada peringkat perlumbaan ke Genting Highlands, tetapi masih ada lagi banyak zon pendakian.

“Jadi saya hanya berdoa dan berharap setiap apa yang dirancang pada hari perlumbaan nanti membuahkan hasil. Selebihnya saya berserah kepada Allah,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba berpengalaman yang juga pakar pecut TSG, Harrif Saleh tidak mahu memandang rendah akan perlumbaan kali ini yang dilihat lebih banyak menggunakan laluan landai.

“Saya pun tak boleh cakap landai kerana ada juga pendakian yang tinggi. Jadi ia juga akan susah untuk pelumba pecut. Tapi untuk kali ini, ada landai dan berbukit, ia lebih seimbang sebenarnya.

“Seperti saya, untuk peringkat laluan landai, tentunya akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Namun yang lain itu, tak bolehlah ketinggalan terlalu jauh juga,” kata pelumba berusia 36 tahun itu yang bakal membuat penampilan ke-15 di LTdL kali ini.

– Berita Harian