KEMAMAN: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli hampir menghadirkan kejutan besar pada Peringkat Keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila mendahului perlumbaan sehingga tiga kilometer terakhir sebelum akhirnya diserap kembali oleh kelompok utama.

Menurut Aiman, pencapaiannya itu lahir daripada strategi pasukan yang sejak awal lagi merancang untuk melepaskannya dalam kelompok ‘breakaway’.

“Memang perancangan daripada awal. Pagi tadi pasukan arahkan saya masuk ‘breakaway’ dan Alhamdulillah taktikal itu menjadi.

“Saya berjaya kutip dua mata penuh di zon pecutan, memenangi zon pendakian di Kijal dan akhirnya dapat gelaran pelumba paling menyerlah. Jadi bagi saya, tugasan saya hari ini sudah selesai,” katanya selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-110.

Pelumba berusia 26 tahun itu mengakui cuba mengambil peluang sebaik melepasi zon pendakian terakhir dengan melancarkan kayuhan habis-habisan.

“Selepas zon pendakian, saya memang pelan untuk mengerah segala kudrat yang ada sebab saya tahu lawan dalam ‘breakaway’ sudah kehabisan tenaga.

“Malangnya hajat nak menang belum kesampaian. Tapi saya puas hati sebab dapat mencuba,” jelasnya.

Ditanya mengenai sasaran seterusnya, Aiman berkata, dia sudah mengintai peluang pada Peringkat Ketujuh dari Melaka ke Medini.

“Saya sasar peringkat Melaka-Medini, Insya-Allah. Sebab ia laju dari awal dan itu memang sesuai dengan cara saya.

“Kalau terlepas dalam ‘breakaway’, saya akan cuba lakukan sesuatu secara taktikal,” katanya.

Walaupun mengakui kepenatan selepas empat peringkat, Aiman tetap optimis untuk terus konsisten sepanjang lapan hari perlumbaan.

“Semalam memang teruk tapi itu adat berlumba. Dengan melakukan proses pemulihan, saya sudah bersedia untuk baki perlumbaan.

“Tak ada istilah menyerah kalah bagi saya,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran pendakian ke Bukit Fraser, esok, Aiman berkata, laluan itu akan lebih memberi ruang kepada pelumba pendaki dalam pasukan.

“Itu laluan untuk pendaki. Kalau saya ada peluang terlepas ‘breakaway’, saya akan cuba, tapi selebihnya saya serah kepada pakar pendakian pasukan,” katanya.

– Harian Metro