ISKANDAR PUTERI: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli menamatkan penantian lima tahun negara untuk melihat wakil Malaysia kembali menaiki podium Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila menamatkan saingan Peringkat 7 di tempat kedua, hari ini.

Pelumba berusia 26 tahun kelahiran Tangkak, Johor itu menamatkan perlumbaan sejauh 214.9 kilometer dari Melaka ke Medini dengan catatan 4 jam 37 minit 41 saat (s), hanya dua saat di belakang pemenang dari pasukan Unibet Tietema Rockets, Zeb Kyffin.

Tempat ketiga pula menjadi milik pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn.

Lebih membanggakan, Aiman turut dinobatkan sebagai pelumba paling menonjol pada peringkat ini selepas melakukan pemecahan seawal kilometer ke-46.9 sebelum mengekalkan kayuhan bertenaga hingga ke garisan penamat.

Detik mendebarkan tercetus ketika baki 10km terakhir apabila Aiman dan Kyffin mula memisahkan diri daripada peloton utama.

Bagaimanapun, di baki 400 meter terakhir, pelumba Britain itu lebih tangkas memecut untuk merangkul kemenangan.

“Alhamdulillah,” kata Aiman kepada media selepas perlumbaan. “Saya berbangga kerana hari ini, ibu saya datang tengok… sebelum ini dia jarang datang. Jadi saya memang nak menang hari ini sebab di Johor (negeri kelahirannya).

“Syukur, dapat nombor dua. Tak tahu nak cakap apa kerana memang sudah cuba sehingga hari ketujuh. Hari ini, tak tahu nak cakap apa.”

Sebagai rekod, kali terakhir pelumba Malaysia berada di pentas podium adalah menerusi pelumba pengalaman dan rakan sepasukannya di TSG, Harrif Saleh yang memenangi Peringkat 7 dari Bagan ke Alor Setar pada 2020.

Dalam pada itu, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih kekal menjadi milik pelumba TotalEnergies, Joris Delbove dengan catatan 23:27:18s, manakala Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling Team), ketinggalan 0:06s di belakang.

Pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra kekal menyarung Jersi Jingga selaku Raja Pecut dengan 55 mata manakala jersi polka dot (Raja Bukit) juga masih kekal di tangan pelumba Team Picnic Postnl, Patrick Eddy.

Jersi Putih selaku Terbaik Asia juga masih disandang pelumba XDS Astana Team, Nicolya Vinokurov dengan catatan masa 23:27:29s.

Perlumbaan Peringat 8 yang juga kemuncak edisi ke-29 dijadual berlangsung dari Tangkak ke Kuala Lumpur membabitkan laluan sejauh 180.2km dengan menyediakan tiga zon pecutan dan tiga zon pendakian.

Tiga zon pecutan adalah di Alor Gajah, Seremban dan Semenyih manakala zon pendakian pula di Setul, Bukit Hantu dan Ampang Look Out Point.

– Berita Harian