KUALA LUMPUR: Dua pasukan berstatus Benua, Chengdu DYC Cycling Team dari China dan 7-Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina, tampil dengan strategi baharu menjelang Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) dari 28 September hingga 5 Oktober ini.

Chengdu DYC yang membuat penampilan sulung dalam LTdL, membariskan lima pelumba import dari Russia, Belarus dan Venezuela, manakala hanya seorang pelumba tempatan dari China diturunkan.

Sementara itu, 7-Eleven Cliqq Roadbike yang sinonim dengan barisan pelumba tempatan, kini menyenaraikan tiga pelumba luar negara dari Australia dan Perancis bagi memperkuat cabaran mereka.

Perubahan itu dilihat sebagai usaha kedua-dua pasukan untuk memberi saingan lebih sengit kepada pasukan elit dari kategori WorldTeam dan ProTeam yang turut menyertai LTdL.

Menurut Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal strategi menampilkan pelumba luar mampu memberikan impak positif seperti dibuktikan JCL Team UKYO dari Jepun pada LTdL24.

“Ramai sedar pasukan Benua yang rata-rata bersandarkan pelumba tempatan agak kurang menyengat apabila bersaing dengan pelumba pasukan WorldTeam atau ProTeam dalam LTdL sejak beberapa tahun lalu.

“Contohnya, pasukan JCL Team UKYO yang melakar keputusan terpuji tahun lalu adalah hasil sentuhan tiga pelumba Itali – Matteo Malucelli, Giovanni Carboni dan Thomas Pesenti – selain turut membantu Manabu Ishibashi bergelar Pelumba Terbaik Asia dan Pasukan Asia Terbaik, serta menamatkan saingan di tangga keempat berpasukan keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Chengdu DYC diketuai pakar pecut Russia, Petr Rikunov yang pernah mewakili Gasprom Rusvelo dan mencatat beberapa kemenangan tahun ini termasuk di Tour of Qinghai Lake.

Turut menguatkan pasukan itu adalah Timofei Ivanov dan Andrei Stepanov (Russia), Yeuhan Sobal (Belarus) serta Roniel Campos (Venezuela), juara keseluruhan Vuelta Tachira sebanyak tiga kali.

Pelumba muda China, Li Chaoyi menjadi satu-satunya wakil tempatan dalam skuad Chengdu DYC, manakala Sobal, 44, membawa pengalaman luas termasuk lima gelaran kebangsaan Belarus.

Sementara itu, 7-Eleven Cliqq mempertaruhkan Luke Burns, Zachary Marriage dan Edouard Bonnefoix sebagai sandaran utama untuk memburu kemenangan peringkat dan klasifikasi keseluruhan.

Marriage, 21, pernah mencatat pencapaian tertinggi di GP de Cotonou dan Volta a Portugal, manakala Bonnefoix pula menduduki tempat keenam Tour of Britain tahun ini.

Burns pula dijangka mengetuai cabaran keseluruhan selepas menjuarai klasifikasi Raja Bukit Tour Down Under 2024 dan tempat kelima keseluruhan Tour Along Yellow River.

Tiga pelumba Filipina – Rench Michael Bondoc, Joshua Pascual dan John Patrick Pagtalunan – akan memainkan peranan sokongan penting kepada pelumba import mereka.

– Berita Harian