KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pasukan mengubah senarai nama pelumba mereka beberapa kali menjelang saingan Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) dari 23 hingga 30 September ini, memeningkan penganjur.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, perkara itu dianggap sesuatu yang biasa, lebih-lebih lagi pasukan hanya diwajibkan mendaftar nama pelumba pada mesyuarat pengurus pasukan yang lazimnya diadakan sehari sebelum perlumbaan bermula, atau 72 jam sebelum tiket penerbangan mereka ditempah.

Walaupun sudah memberi senarai awal nama pelumba, pelumba simpanan, pengurus, mekanik dan pegawai perubatan mereka, katanya, beberapa pasukan dilihat membuat perubahan beberapa kali selepas itu, terutama pada senarai enam pelumba yang akan berkayuh.

Situasi itu dijangka terus berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini, sekali gus mencetuskan pelbagai tanda tanya siapa dan pasukan mana yang boleh diletakkan sebagai calon pilihan bagi persaingan empat jersi rebutan jelajah edisi ke-27 ini.

“Ini sebenarnya adalah perkara biasa terutama bagi pasukan besar dalam WorldTeam dan ProTeam kerana mereka akan menilai tahap kekuatan pelumba sendiri, melihat bentuk profil laluan serta membandingkan dengan kekuatan pelumba pasukan lain.

“Ia juga perlu menepati sasaran pasukan itu sendiri sama ada memburu jersi individu dan berpasukan keseluruhan, menguasai saingan pecut terakhir di peringkat laluan landai atau menawan laluan berbukit, selain menyelitkan nama pelumba bawah 23 tahun yang bagus bagi kategori saingan pelumba muda.

“Ini semua adalah faktor yang sentiasa diambil kira oleh setiap pasukan handalan sebelum memutuskan senarai akhir pelumba mereka.

“Dan situasi sebeginilah yang sedang pihak sekretariat LTdL 2023 hadapi ketika ini, tetapi kami menganggapnya sebagai satu perkara biasa kerana sudah melaluinya banyak kali sebelum ini.

“Malah, pertukaran saat-saat akhir seperti ini juga dihadapi oleh penganjur perlumbaan besar lain di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Emir berkata, antara pasukan yang meminda senarai pelumba yang akan dibawa ke LTdL 2023 ini adalah Astana Qazaqstan, EF Education-EasyPost, Team Corratec-Selle Italia, Tudor Pro Cycling Team dan Euskaltel-Euskadi.

“Daripada pertukaran nama pelumba itu, kita boleh melihat keutamaan sasaran mereka untuk LTdL ini seperti Astana yang meletakkan dua pakar pecut, EF Education dan Euskaltel yang memberi tumpuan kepada laluan pendakian,” katanya lagi.

Selepas melengkapkan senarai 22 pasukan bertanding dengan kemasukan dua pasukan terakhir – Bolton Equities Black Spoke Team (ProTeam) dari New Zealand dan Thailand Continental Cycling Team (Continental) minggu lalu, penganjur LTdL 2023, Majlis Sukan Negara (MSN) kini dalam persiapan akhir membawa setiap pasukan ke Kuala Terengganu, menjelang majlis pengenalan pasukan yang akan diadakan sehari sebelum tirai saingan Peringkat 1 Kerteh-Kuala Terengganu bermula.

Tiga pasukan ProTeam – Green Project-Bardiani CSF-Faizane; Team Corratec dan Bolton Equities serta KSPO Professional dari Korea Selatan juga dilihat serius mahu menyinar pada edisi ke-27 ini apabila dijadual tiba lima hari lebih awal dan sanggup membayar sendiri penginapan di Kuala Terengganu, sebelum kemasukan ke hotel rasmi demi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini.

– Berita Harian