LANGKAWI: Edisi ke-29 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 membuka tirai dengan penuh warna-warni apabila formasi cahaya 380 dron menerangi langit Dataran Lang, Kuah, sekali gus mencuri tumpuan pengunjung yang hadir pada majlis pelancaran rasmi dan pengenalan pasukan sebentar tadi.
Persembahan teknologi tinggi itu bukan sekadar menceriakan suasana, malah menjadi simbolik kepada kemeriahan dan kemajuan penganjuran sukan berbasikal bertaraf antarabangsa di negara ini.
Sorotan istimewa itu melengkapkan malam penuh gemilang yang menyaksikan pengenalan 22 pasukan profesional termasuk dua pasukan WorldTeam, sembilan ProTeam, 10 pasukan Benua, serta pasukan kebangsaan Malaysia yang akan bersaing pada edisi kali ini.
Daripada 22 pasukan itu, ia membabitkan jumlah pelumba keseluruhan seramai 130 kesemuanya.
Majlis turut diserikan kehadiran Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Abdullah Hasan; serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
LTdL 2025 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dijadual berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini, membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,244.2 kilometer.
Saingan akan bermula dengan Peringkat 1 di Pulau Langkawi (28 September), diikuti Peringkat 2 Padang Besar, Perlis–Kepala Batas, Pulau Pinang; Peringkat 3 Gerik, Perak–Pasir Puteh, Kelantan; Peringkat 4 Kuala Terengganu–Kemaman; Peringkat 5 Temerloh–Bukit Fraser, Pahang; Peringkat 6 Shah Alam, Selangor–Port Dickson, Negeri Sembilan; Peringkat 7 Melaka–Medini, Johor; sebelum berakhir dengan Peringkat 8 Tangkak, Johor–Kuala Lumpur pada 5 Oktober.
– Berita Harian
