Jurulatih berbasikal lebuhraya negara, Yusof Nasir, berkongsikan figura pelumba muda, Kee Zhe Yie, antara muka baru yang berpotensi memberikan cabaran bagi merebut jersi putih dalam perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2025 kali ini.

Malah, juara kebangsaan berusia 22 tahun itu juga mempunyai kemahiran daripada aspek pendakian, selain Yusof optimis dengan kemampuan Zhe Yie bersama lima pelumba lain yang dipilih bagi membawa cabaran negara.

Selain Zhe Yie, pelumba berpengalaman, Shahrul Mat Amin, bakal mengetuai cabaran kem negara bersama Elmi Jumari, Iqmal Zarawi, Yusri Shaari dan Muhammad Ameer Kamal.

“Pasukan Negara punya tugasan adalah memperkenalkan atlet-atlet baru untuk perlumbaan besar, semua atlet mahu menyertai LTdL tetapi peluang terhad.

“Pasukan negara adalah ruang dan tapak untuk mereka pergi lebih jauh. Pasukan negara medan perkenalkan atlet baru. Untuk tahun depan kami sentiasa akan memperkenalkan pelumba baru.

“Pada saya tahun ini, kami fokus pada Kee Zhe Yie yang muda dan berbakat, baru pulang daripada Sepanyol.

“Saya harap dia mampu memberikan saingan merebut jersi putih dan bahagian peringkat, dia berbakat dan merupakan juara kebangsaan tahun ini. Saya rasa dia mampu rebut jersi putih.

“Dia ada kekuatan dalam mendaki, kita perlukan dia dan lebih ramai lagi. Pada saya pemilihan dia dan pelumba lain wajar.” katanya.

– Stadium Astro