Syarikat pengeluar air mineral tempatan, Bubbles O2, menaiktaraf penajaan dalam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila menjadi penaja rasmi bagi jersi raja bukit edisi ke-29 kali ini.
Selepas dua tahun sebagai penaja rasmi air mineral semulajadi dan anugerah pelumba kombatif di setiap peringkat edisi sebelum ini, Bubbles O2 memeterai langkah lebih megah dengan menaja jersi Polka Dot Hijau bagi klasifikasi sebagai ‘Raja Bukit’.
Antara faktor utama penajaan termasuk pakej pulangan yang ditawarkan selain berupaya mengukuhkan jenama dan mempromosikan ke pasaran antarabangsa.
LTdL 2025 akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dan berakhir di menara berkembar KLCC pada 5 Oktober membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1244.4KM.
“Dengan kerjasama ini yang bernilai RM1 juta untuk barangan dan wang tunai dapat membantu kami menguruskan penganjuran ini dengan baik.
“Bukan mudah untuk dapatkan. Saya rasa ini salah satu penajaan besar di peringkat MSN,” kata Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin.
“Ia bukan melakukan penajaan hari ini dan meraih pulangan esok, ia umpama sebuah perjalanan.” tambah Pengerusi Eksekutif Bubbles 02, Arifin Marzuki.
– Stadium Astro