LANGKAWI: Terengganu Cycling Team (TSG) meletak sasaran tersendiri dalam perlumbaan edisi ke-29 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL) kali ini iaitu mempertahankan kedudukan teratasnya dalam kalangan pasukan Benua Asia.

Sasaran biasa adalah kedudukan di podium menerusi pakar pecutnya, Harrif Saleh dan Wan Abdul Rahman Hamdan di laluan landai sambil pelumba Kazakhstan, Vadim Pronskiy dan pelumba Belanda, Adne Van Engelen mengejar posisi terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan.

Menerusi Pronskiy juga, TSG berharap mampu mengesahkan posisi terbaik dalam senarai Pelumba Terbaik Asia.

Ketika ini, kedudukan teratas pasukan Asia saling bergantian setiap minggu di antara sama ada TSG, JCL Team UKYO (Jepun), Li Ning Star (China) dan Roojai Insurance (Thailand) dan atas faktor itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, TSG bertekad mengumpul sebanyak mata mungkin dalam jelajah berstatus 2.ProSeries itu.

“Ini menjadi antara matlamat utama kami dalam PLTdL25 kerana sedar setiap mata adalah penting disebabkan kedudukan setiap pasukan yang tidak terlalu jauh di antara satu sama lain sedangkan tidak banyak lagi perlumbaan besar berlangsung selepas ini dan musim perlumbaan 2025 juga semakin menuju ke penghujung,” katanya.

Seorang lagi pelumba tempatan TSG adalah juara kebangsaan berganda acara lebuh raya dan ujian masa individu tahun ini, Muhammad Nur Aiman Rosli yang berperanan membantu rakan sepasukan Harriff dan Wan Abdul Rahman dalam pecutan terakhir.

Pelumba Denmark, Matthias Bregnhoj pula memikul peranan membantu sama ada Pronskiy atau Van Engelen di laluan berbukit, terutama Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser).

Begitupun, Nasiruddin berkata, segala-galanya bergantung kepada situasi ketika perlumbaan dan setiap pelumba diberi kebebasan untuk bertindak bijak mencari keputusan terbaik.

“Kami tidak mahu terlalu rigid dengan sebarang strategi atau taktikal kerana ia akan memberi tekanan tidak sepatutnya ke atas pelumba. Mereka mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa untuk bekerjasama di antara satu sama lain dan jika ada kemenangan peringkat, itu dianggap satu bonus,” katanya.

Beliau menambah, berdasarkan prestasi terkini, pemenang peringkat tiga kali PLTdL, Harrif yang kini berusia 37 tahun, masih berada kira-kira 70 peratus daripada keupayaan sebenarnya selepas berehat seketika kerana masalah kesihatan.

Namun pengalamannya diharap dapat membantu Wan Abdul Rahman, 26, yang disifatkan antara pakar pecut berbakat besar dalam pasukan itu selepas melakar kemenangan peringkat di Tour of Route Salvation dan tempat kedua peringkat di perlumbaan Yellow River di China.

Van Engelen,32, juga menikmati musim yang cemerlang dengan memenangi individu keseluruhan Tour of Sharjah, ketiga Tour of Gyeongnam, kedua keseluruhan di Tour of Banyuwangi Ijen dan terbaru di tangga keempat klasifikasi Raja Bukit Tour of Huangshan, minggu lalu.

PLTdL akan bermula di Pulau Langkawi pada Ahad ini dan berakhir di hadapatan Menara Berkembar Petronas pada 5 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,244.2km.

Perlumbaan berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.7 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (166.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (141.5km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (123.1km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.5km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.9km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.2km) pada 5 Oktober.

TERENGGANU CYCLING TEAM (TSG)

  1. MOHD HARRIF SALEH (MAS)
  2. WAN ABDUL RAHMAN HAMDAN (MAS)
  3. MUHAMMAD NUR AIMAN ROSLI (MAS)
  4. VADIM PRONSKIY (KAZ)
  5. MATTHIAS BREGNHOJ (DEN)
  6. ADNE VAN ENGELEN (NED)