KUALA LUMPUR: Hanya 3 saat yang memisahkan Joris Delbove dari pasukan TotalEnergies, dengan pencabar terdekatnya untuk dinobatkan sebagai juara klasifikasi individu (GC) pada edisi ke-29 jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) yang berakhir di hadapan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), semalam.
Bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dengan kayuhan lapan peringkat sejauh 1,224.2km yang membawa pelumba ke seluruh negeri di Semenanjung, kelebihan 3 saat itu juga mungkin menjadi antara paling tipis dalam sejarah penganjuran PLTdL.
Selain menempuh cuaca panas terik dan hujan lebat sepanjang lapan hari saingan, sesuai slogan BEAT THE HEAT, semua pasukan dengan penyarung jersi utama memperagakan pelbagai strategi dan taktik untuk mengekang asakan pencabar mereka setiap hari, sekaligus menyajikan mutu perlumbaan yang tinggi.
Tanpa puncak Genting Highlands buat tahun kedua berturut-turut, ia tetap dianggap sukar kerana selain aksi breakaway awal yang menyaksikan purata kelajuan setiap hari mencecah 45kmj, jumlah pelumba yang tersingkir juga bertambah hinggakan daripada 129 pelumba yang bermula di Langkawi, hanya 98 sahaja menamatkan perlumbaan di KLCC, semalam.
XDS-Astana menepati statusnya sebagai pasukan handalan kelas elit WorldTeam dengan menguasai 4 daripada 8 peringkat, tiga daripada Matteo Malucelli dan peringkat terakhir dari Aaron Gate, selain jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Rakan Muda yang dimenangi Nicolya Vinokourov.
Namun Malucelli bernasib malang terpaksa akur terkeluar daripada saingan kerana kecederaan akibat kemalangan di Peringkat 6.
Agak mengecewakan buat sebuah lagi pasukan WorldTeam, Team Picnic PostNL yang gagal mempertahankan jersi hijau Max Poole tahun lalu, dan sekadar pulang dengan satu jersi Raja Bukit tajaan BubbleO2 menerusi Patrick Eddy.
Bagi edisi kali ini, TotalEnergies, pasukan ProTeam yang berdaftar di Perancis dan tampil buat kali pertama, pulang dengan kemenangan satu peringkat dan jersi hijau idaman menerusi Delbove yang mempamer kematangan untuk mempertahankan jersi itu hingga ke penamat.
Malah menerusi usaha Delbove juga, TotalEnergies mendaki beberapa anak tangga dalam senarai pungutan mata ranking terkini UCI untuk berada di tangga ke21, mengatasi pasukan WorldTeam seperti Cofidis dan Intermache-Wanty.
Begitu juga Uno-X Mobility yang pulang bersama jersi oren Raja Pecut menerusi Erland Blikra manakala Anders Halland Johannessen berada di tangga kedua GC, sekali gus membantu pasukan ProTeam Norway itu kini berada di tangga ke-12, mengatasi nama-nama WorldTeam seperti Movistar, Team Picnic PostNL, Groupama-FDJ, Team Jayco AIUla dan Cofidis.
Cuma agak malang buat Uno-X apabila legenda dunia, Alexander Kristoff terpaksa menamatkan kariernya beberapa hari lebih awal kerana kecederaan, tetapi upacara khas tanda penghormatan terhadap pelumba itu di Tangkak semalam, menjadi momen manis dan bersejarah untuk dikenang Kristoff dan peminat berbasikal tempatan.
Tudor Cycling Team, pasukan ProTeam dari Switzerland juga meraih mata berharga menerusi kemenangan dua peringkat Arvid de Klein dan Yannis Voisard yang menduduki tangga ketiga keseluruhan, dan membantu meletakkan Tudor menghuni tangga ke-15 ranking pasukan dunia.
Sebuah lagi pasukan ProTeam, Polti VisitMalta muncul Pasukan Terbaik manakala Nusantara BYC menjadi pasukan Asia terbaik bagi edisi PLTdL25 ini.
Bagi peminat tempat, kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Rosli menaiki podium tempat kedua pada Peringkat 7 kelmarin, menjadi antara sebab PLTdL25 ini lebih manis selepas menunggu sekian lama mahu melihat pelumba tempatan berdiri di podium.
Secara keseluruhan, PLTdL25 boleh dianggap edisi yang berjaya, sama ada dari aspek kualiti persaingan, keselamatan penganjuran mahupun kepuasan peminat tempatan yang setia berbaris di sepanjang laluan mahupun yang membanjiri lokasi permulaan dan penamat.
Yang menjadi persoalan ketika ini ialah sama ada PLTdL25 mampu beroleh markah tinggi dan ‘warna hijau’ kerana segala-galanya terpulang dengan laporan Presiden Panel Komisar yang dilantik UCI, Daniele Balzi yang enggan memberikan penjelasan terperinci bagi laporan yang akan disiapkannya.
“Yang pasti saya seronok pertama kali datang bertugas di Malaysia dan berasa seperti negara sendiri. Jika ada rungutan kononnya jarak perpindahan penginapan yang jauh dari lokasi mula atau tamat, itu adalah perkara biasa dalam sukan berbasikal jelajah kerana ia juga berlaku di Eropah, termasuk Itali.
“Tetapi saya berharap pihak penganjur akan berusaha memperbaiki walau sekecil manapun saranan yang akan diberikan dalam laporan UCI itu nanti,” katanya ketika ditemui sebelum bermula Peringkat 8 di Tangkak, pagi semalam.