KUALA LUMPUR – Empat pendaki bakal memperkuatkan cabaran pasukan ProTeam dari Itali, Polti-VisitMalta pada penampilan kedua pasukan itu pada jelajah berbasikal PETRONAS Le Tour de Langkawi (PLTdL) 2025 yang bermula pada 28 September hingga 5 Oktober depan.
Mungkin selepas kurang meninggalkan impak besar pada tahun lalu, pasukan berpangkalan di Sepanyol dengan sentuhan legenda Ivan Basso dan Alberto Contador ini, menurunkan empat pendaki bercirikan ‘all-rounder’ yang mampu mencabar jersi hijau individu keseluruhan tajaan PETRONAS dan jersi Raja Bukit.
Mengetuai cabaran pasukan itu nanti ialah pelumba asal Itali berusia 27 tahun, Davide Bais yang berpengalaman berkayuh sebanyak tiga kali dalam Giro d’Italia dan pernah menang Peringkat 7 Giro 2023.
Ketua Pegawai Operasi (COO) PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, strategi empat pendaki yang dihantar Polti kali ini memperlihatkan keazaman pasukan itu untuk menyinar selepas agak tenggelam pada penampilan kali pertama tahun lalu.
“Banyak pasukan yang berlumba di PLTdL untuk kali pertama mahu memberikan keputusan terbaik sebagai menghargai dan membalas undangan pihak penganjur, selain berharap ia memberi markah tambahan untuk diundang lagi pada masa akan datang.
“Saya rasa Polti yang hadir dengan nama Polti-Kometa pada tahun lalu, mahu melahirkan pemenang peringkat dan klasifikasi individu keseluruhan pada tahun ini, dan seterusnya dijemput lagi selepas ini,” kata Emir dalam satu kenyataan hari ini.
Pada tahun lalu, Polti gagal memenangi sebarang peringkat manakala pelumba terbaiknya, Fernando Lopez Tercero, 23, yang turut berada dalam senarai enam pelumba tahun ini, sekadar menduduki tangga keempat individu keseluruhan pada PLTdL24.
Selain Bais dan Tercero, dua lagi pendaki Polti tahun ini ialah pelumba Sepanyol, Alex Martin, 25; dan pelumba kelahiran Colombia, German Dario Gomez, 24.
“Pasti menarik untuk melihat percaturan strategi Polti di Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser) nanti kerana ada pendakian Kategori 1 di kedua-dua laluan tersebut,” kata Emir lagi.
Pakar pecut yang disenaraikan Polti kali ini ialah Manuel Penalver, yang menduduki tempat kedua di Butterworth dan ketiga di Bentong pada tahun lalu.
Pelumba Sepanyol berusia 26 tahun itu dilihat berada pada tahap kecergasan yang baik selepas mencatat satu kemenangan peringkat di Tour of Qinghai Lake tahun ini, selain dua kali di tempat kedua.
Kemaraan Penalver ke garisan penamat di laluan landai pastinya akan dibantu seorang lagi pakar pecut muda Polti kelahiran Itali, Gabriel Reccagni, 22.
Edisi ke-29 PLTdL25 yang akan menyusuri semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia pada sepanjang lapan hari saingan, membabitkan jarak keseluruhan 1,243.5km yang bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di hadapan KLCC.
Jelajah berstatus 2.ProSeries dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia UCI ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 September (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Oktober.
SENARAI PELUMBA POLTI-VISITMALTA
- ALEX MARTIN (ESP)
- DAVIDE BAIS (ITA)
- FERNANDO LOPEZ TERCERO (ESP)
- GABRIELE RECCAGNI (ITA)
- GERMAN DARIO GOMEZ (COL)
- MANUEL PENALVER (ESP)