KUALA TERENGGANU Pelumba muda negara, Tsen Ren Bao sanggup mengambil risiko besar demi merangkul gelaran Pelumba Terbaik ASEAN pada peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, hari ini.

Mewakili pasukan St George Continental Cycling dari Australia, Ren Bao menamatkan saingan dari Gerik ke Pasir Puteh sejauh 197 kilometer di kedudukan ke-28 keseluruhan, dalam perlumbaan yang mencabar dengan tiga zon pendakian dan tiga zon pecut.

Walaupun pengiktirafan itu hanya bagi aksi peringkat, pelumba berusia 22 tahun itu menyifatkannya sebagai permulaan penting dalam usahanya memburu pencapaian lebih cemerlang pada baki perlumbaan seterusnya.

“Bagi saya, ini adalah satu permulaan dan ia benar-benar meningkatkan motivasi saya,” kata Ren Bao.

“Saya beritahu rakan sepasukan saya mahu mengerah segala kudrat, tidak kira apa pun yang terjadi sama ada saya terjatuh atau ‘mati’ sekalipun. Saya sangat mahukannya (Terbaik ASEAN) hari ini,” katanya.

Selain meraih anugerah Pelumba Terbaik ASEAN harian, Ren Bao turut muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia bagi peringkat berkenaan.

Perlumbaan peringkat keempat esok membabitkan laluan sejauh 141.5km, merangkumi tiga zon pecutan di Marang, Dungun dan Paka selain satu zon pendakian di Kijal.

– Berita Harian