KUALA TERENGGANU Demi gelaran pelumba terbaik ASEAN, Tsen Ren Bao mengakui sanggup mengambil risiko termasuk ‘berani mati’ pada perlumbaan Peringkat Ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Gerik ke Pasir Puteh, hari ini.

Pelumba muda berusia 22 tahun itu yang mewakili St George Continental Cycling menamatkan saingan di kedudukan ke-28, namun cukup berbangga apabila dinobatkan selaku pelumba terbaik ASEAN dan terbaik Malaysia bagi peringkat berkenaan.

“Saya beritahu rakan sepasukan, saya mahu kerah segala kudrat. Tidak kisah apa pun berlaku, sama ada jatuh atau ‘mati’ sekali pun, saya sangat mahukannya hari ini,” kata Ren Bao yang jelas masih teruja selepas perlumbaan.

Perlumbaan sejauh 197 kilometer (km) itu menguji ketahanan peloton dengan tiga zon pendakian dan tiga zon pecut, menyaksikan cubaan awal Ren Bao mengekori pelumba Mongolia, Jambaljamts Sainbayar yang melancarkan serangan balas.

Mengulas strategi di garisan penamat, Ren Bao berkata, dia memilih untuk kekal bertenang, sekali gus tidak terperangkap dengan sebarang tindakan kurang bijak.

“Hari ini saya hanya tenang dan ikut kelompok hadapan. Apa saja yang berlaku, biarlah berlaku,” ujarnya.

Perlumbaan Peringkat Keempat esok akan berlangsung dari Kuala Terengganu ke Kemaman membabitkan tiga pecutan di Marang, Dungun dan Paka, manakala zon pendakian pula di Kijal.

– Harian Metro