KUALA LUMPUR: Kesetiaan dan semangat juang pelumba berpengalaman, Shahrul Mat Amin, membuahkan hasil apabila dia kembali disenaraikan bersama skuad kebangsaan pada Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas kali terakhir beraksi pada 2018.

Pelumba berusia 36 tahun itu mengakui tempoh sukar apabila diketepikan daripada pemilihan kebangsaan serta gangguan pandemik Covid-19 tetapi langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berlatih demi peluang kembali ke pentas tertinggi.

“Dua bulan pertama latihan memang sakit, tapi saya teruskan juga. Berbasikal sebahagian daripada hidup saya, jadi saya tidak pernah putus asa untuk kembali,” katanya pada sidang media pengumuman senarai pelumba negara ke saingan bertaraf ProSeries itu.

Bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) selama 13 tahun itu dijangka menggalas tugas sebagai kapten bagi membimbing skuad negara yang rata-ratanya dibarisi pelumba muda.

Pengalaman luas menentang pelumba antarabangsa selain kepintaran taktikal dianggap sebagai aset penting buat Shahrul dalam membantu rakan sepasukan menempuh cabaran perlumbaan berprestij itu.

“Ada masa kekuatan sahaja tidak cukup, tapi pengalaman tahu bila masa yang sesuai untuk membuat gerakan itulah yang jadi penentu,” ujarnya.

Meskipun sasaran pasukan adalah memburu Jersi Asia dan podium peringkat, Shahrul percaya peluang sebenar hanya akan datang dengan kesabaran serta kebijaksanaan membaca situasi perlumbaan.

“Selepas peringkat pertama barulah kita boleh baca corak perlumbaan dengan lebih jelas. Dari situ kita akan tahu peluang untuk cuba podium peringkat seperti di peringkat ketiga atau kelima.

“Kedudukan sebelum pendakian di Bukit Fraser (peringkat kelima) sangat penting dan ia perlukan strategi serta kerja berpasukan,” katanya.

Selepas melalui pelbagai cabaran untuk kembali dalam skuad kebangsaan, Shahrul kini bertekad memberi inspirasi kepada pelumba muda negara selain membuktikan dia masih memiliki kudrat serta ketahanan untuk mengibarkan cabaran Malaysia di LTdL.

– Harian Metro